fbpx

Dicekup ketika angkut 225 karton rokok seludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua lelaki dicekup ketika sedang memunggah rokok seludup dalam serbuan di Jalan Bestari, Nusa Bestari, Iskandar Puteri, Johor hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Dua rakan kongsi yang membekal rokok seludup ditahan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam ketika sedang memunggah kotak rokok di tempat letak kenderaan di belakang kawasan Bestari Walk, Jalan Bestari, Nusa Bestari di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, anggota PGA turut merampas 225 karton rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM40,000 dengan cukai.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 32 dan 44 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati, rokok ini dipercayai dibawa masuk dari Indonesia dan kegiatan ini dikesan telah beroperasi selama enam bulan.

“Semasa serbuan dilakukan kedua-dua suspek sedang sibuk memunggah kotak-kotak rokok seludup dari Proton Persona ke kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Cherry Easter.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan berkenaan berjumlah RM79,734,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut dirampas adalah sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Cherry Easter dan kereta Proton Persona yang digunakan dalam aktiviti tersebut.

Katanya, siasatan mendapati kedua-dua suspek merupakan rakan kongsi dan bertindak sebagai pengedar rokok seludup.

Tambahnya, kedua-dua suspek beserta barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk tindakan lanjut.

“Tangkapan dan rampasan itu berjaya melumpuhkan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai sekitar Johor Bahru,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI