KUANTAN – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang mengesahkan kualiti air di Tasik Chini berada pada tahap bersih dan selamat untuk semua hidupan terutama hidupan air di dalam tasik itu.
Menurut kenyataan JAS Pahang, keputusan itu adalah berdasarkan pemantauan berterusan terhadap kualiti air di tasik kedua terbesar di Malaysia itu sejak 2005 sehingga kini.
“Parameter utama yang diukur ialah Keperluan Oksigen Biokimia (BOD), Pepejal Terampai (SS), Nitrogen Amonia (AN) dan Besi (Fe).
“Secara umumnya data kualiti air bagi tahun 2020 dan 2021 (sehingga Mac) menunjukkan kualiti air Tasik Chini dalam kategori bersih,”kata kenyataan itu di sini, hari ini.
Jelas kenyataan itu, terdapat 15 stesen pemantauan kualiti air Tasik Chini di beberapa lokasi yang telah ditetapkan dengan kekerapan pemantauan sekali sebulan di setiap stesen.
Jelasnya, bacaan purata bagi empat parameter itu sepanjang tahun 2020 dan sehingga Mac 2021 berada pada kelas satu dan dua.
“Bagi parameter Fe atau besi, bacaan bagi tiga bulan pertama tahun ini menunjukkan trend meningkat pada bulan Februari disebabkan faktor hujan lebat namun bacaan telah menurun pada Mac lalu.
“Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang dengan kerjasama Kolej Matrikulasi Pahang telah mengeluarkan Profil Kualiti Air Tasik Chini bagi Tahun 2016 hingga 2020 pada Oktober 2020,”katanya.
Untuk rekod, Tasik Chini dianugerahkan status Rizab Biosfera oleh UNESCO pada Mei 2009 di bawah program Manusia dan Biosfera yang dikoordinasi oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).
Baru-baru ini tular dalam media sosial gambar keadaan Tasik Chini yang terjejas akibat aktiviti perlombongan sehingga mendapat pelbagai reaksi orang ramai termasuk Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak.-K!ONLINE