PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki warga asing mencabul seorang wanita akhirnya mengundang padah apabila dia ditahan polis di sebuah kondominium di Kota Damansara di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, tangkapan dilakukan susulan satu laporan polis yang dibuat oleh seorang wanita tempatan berusia 51 tahun yang mendakwa telah dicabul oleh suspek.
“Menurut mangsa, pada 6 Jun lalu kira-kira pukul 8.20 malam, dia telah dicabul oleh seorang lelaki tidak dikenali yang disyaki merupakan warga asing ketika hendak masuk ke rumahnya di kondominium tersebut, namun tiada sebarang kecederaan dialaminya.
“Bertindak atas maklumat, kira-kira pukul 5.30 petang semalam sepasukan polis dari Balai Polis Kota Damansara telah menahan seorang lelaki warga asing berusia 26 tahun di hadapan pos pengawal keselamatan kondominium tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Fakhrudin, suspek tidak mempunyai sebarang pekerjaan serta merupakan penyewa di kondominium sama dan menerusi siasatan yang dilakukan, suspek turut mengaku terlibat dalam kes cabul yang sedang disisasat.
“Suspek turut mengaku terlibat dalam satu kes cubaan samun di hadapan sebuah rumah yang juga di kawasan kondominium yang sama melibatkan mangsa seorang wanita warga tempatan berusia 24 tahun yang bekerja sebagai juruaudit pada 5 Jun lalu.
“Suspek kini direman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan dan Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cuba melakukan rompakan,” tegas beliau. – K! ONLINE