PETALING JAYA – Genap seminggu kelahiran, pelakon Ummi Nazeera mengumumkan Aysha Arsylia sebagai nama puteri keduanya.
Menerusi hantaran dalam Instagram, Ummi atau nama sebenarnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainal Abidin, 31, berkongsi gambar wajah anaknya memberitahu pemilihan nama tersebut sebagai memperingati isteri Rasulullah.
“Alhamdulillah dah hari ketujuh. Ummi nak share (kongsi) nama anak kami iaitu Aysha Arsylia. Sempena nama isteri baginda Rasulallah SAW.
“Arsylia pula yang bermaksud kehidupan yang tenteram, bahagia dan sempurna.
“Semoga Aysha akan membesar menjadi anak yang solehah, dengar cakap ibu bapa dan keluarga serta berbakti kepada agama dan negara,” tulisnya.
Pada hantaran sama, pelakon filem Bisik Pada Langit itu turut mengimbau pengalaman ketika mengandungkan Aysha.
“Risau mummy masa empat minggu mengandungkan Aysha dulu dah bleeding (pendarahan).
“Tapi alhamdulillah, mummy diberi peluang untuk melahirkan Aysha secara normal. Syukur Allah Maha Besar,” tulisnya lagi.
Terdahulu, Ummi mendirikan rumah tangga bersama seorang doktor, Mohd. Izzar Anwari Abdul Khani pada 23 Julai 2017.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang puteri bernama Ayra Aneesah, 3, pada 22 Ogos 2018. – K! ONLINE