fbpx

Tipulah kalau saya tak sedih – Suekhaizhar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUEKHAIZHAR

BERTUBI-TUBI dikecam, disindir, bahkan dihamun dengan kritikan tanpa soal perasaannya dihitung, namun itulah hakikat pedih yang harus ditelan si gadis remaja bernama Suekhaizhar akibat ledakan populariti segera yang sedang diraih.

“Tipulah kalau saya cakap tak sedih, tetapi saya terima dengan hati terbuka. Diakui ada betulnya cakap mereka.

“Saya kena banyak majukan diri dari segi vokal. Saya sedar untuk menjadi penyanyi yang baik dan disegani, vokal memainkan peranan penting.

“Cuma, kalau boleh jangan babitkan nama syarikat rakaman Zym Music. Nak caci maki, biarlah saya seorang.

“Mereka tak bersalah pun sebab yang menyanyi ialah saya. Insya-Allah, saya terima dan ambil setiap kritikan mereka secara positif,” ujar remaja berusia 17 tahun itu naif.

Sejak seminggu lalu, Suekhaizhar mula menjadi sebutan dalam kalangan pengguna laman sosial selepas lagu nyanyiannya, Aku Budak Girl dimainkan dalam aplikasi TikTok.

Tanpa disangka, hantaran video yang dimuat naik menjadi tular apabila nyanyian pemilik nama sebenar Suru­la­­n Khairul Azhar mendapat pelbagai kritikan.

Tidak cukup dengan itu, kata-kata kesat, kutukan yang boleh dianggap keterlaluan dilemparkan kepada gadis kelahiran Lahad Datu, Sabah itu.

SEDIH dicaci, dimaki hamun dan dituduh sebagai perosak industri, Suekhaizar mengakui semua itu berlaku disebabkan kelemahan sendiri.

Suekhaizhar bagaimanapun masih mampu menarik nafas lega apabila lirik video rasmi lagu Aku Budak Girl yang dimuat naik di saluran YouTube Zym Music sejak 28 Mei lalu mencecah hampir dua juta tontonan selain berada di kedudukan nombor dua carta sohor kini (trending).

Baginya, setiap kritikan membuka laluan untuknya memperbaiki dan memajukan diri pada masa akan datang, terutama dalam kerjaya nyanyian yang baharu hendak bertapak.

“Mulanya saya hanya suka-suka dalam TikTok. Malah, video itu adalah untuk versi TikTok. Saya pun tidak menjangka dan tak tahu macam mana boleh tular. Malah, pelbagai kritikan dilemparkan,” katanya.

Bagi yang mengikuti perjalanan Suekhaizhar, gadis itu pernah tular dalam TikTok apabila menyanyikan lagu penyanyi Indonesia.

Berkongsi mengenai lagu ciptaan sepenuhnya oleh Reyhan OAB, Suekhaizhar berkata, dia mengambil masa sebulan untuk menyiapkan proses rakaman kerana perlu memberi tumpuan terhadap sesi persekolahan.

“Lagu ini bergenre pop. Saya mulakan proses rakaman pada April lalu. Ini adalah single pertama dan kali pertama menjejakkan kaki ke studio. Pendek kata, ini adalah pengalaman pertama saya menjadi penyanyi profesional.

“Diakui semuanya tidak mudah. Memang susah pada awalnya sehinggakan komposer pun marah sebab saya tak boleh menyanyikan lagu ini. Tapi saya tetap berusaha. Namun, disebabkan saya masih bersekolah, jadi memang ambil masa lama nak siapkan.

“Proses rakaman dibuat jika cuti persekolahan. Mereka pun faham dan tidak mahu ganggu jadual saya. Dalam masa sama, saya juga belajar vokal. Itu yang sampai sebulan lamanya baru lagu ini dapat disiapkan sepenuhnya,” tambah Suekhaizar.

Apa yang pasti, Suekhaizhar yang kini menetap di Johor Bahru bersama keluarga optimis untuk melangkah lebih jauh dalam bidang nyanyian dan berharap dapat setanding dengan penyanyi terkenal tanah air yang lain.

“Insya-Allah, tahun ini saya akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dalam masa sama, saya kena bahagikan masa untuk kerjaya nyanyian. Walaupun sekarang musim pandemik dan tiada sebarang aktiviti persembahan dibenarkan, saya percaya ada hikmah di sebalik semua ini.

“Jadi, kesempatan ini saya ambil untuk belajar vokal. Sekurang-kurangnya saya dapat perbaiki kelemahan diri. Jika diberi peluang saya nak sangat menyanyikan lagu ini secara langsung menerusi televisyen.

“Semoga lagu ini membuka ruang dan peluang yang lebih besar kepada saya dalam industri muzik tanah air. Kepada yang menyokong saya, terima kasih banyak. Kepada yang mengkritik juga terima kasih atas saranan diberikan,” katanya.

Lagu Aku Budak Girl sudah boleh distrim menerusi semua platform muzik digital sejak 28 Mei lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI