PETALING JAYA – Tanjung Bruas Port Sdn. Bhd. (Tanjung Bruas Port), ahli Kumpulan MMC, telah memulakan penghantaran pelet kayu (wood pellets) dari terminalnya di Tanjung Kling, Melaka.
Pelet kayu merupakan sejenis bahan bakar biomas yang digunakan sebagai tenaga hijau di loji jana kuasa.
Ia juga merupakan bahan bakar pelet yang paling biasa dan umumnya dibuat daripada habuk papan yang dipadatkan.
Pengarah Tanjung Bruas Port, Md. Derick Basir berkata, ini merupakan penghantaran pelet kayu yang pertama melalui Pelabuhan Tanjung Bruas.
Menurut beliau, sebanyak 10,200 tan metrik dieksport dari Tanjung Bruas Port pada 29 April 2021 dan telah selamat tiba di Pelabuhan Gunsan, Korea Selatan pada 9 Mei lalu.
“Penghantaran kargo pelet kayu pertama ini jelas membuktikan kemampuan Pelabuhan Tanjung Bruas dalam mengendalikan pelbagai jenis kargo dan dapat melakukan penghantaran kepada bukan sahaja pelanggan di dalam negara, malah kepada pelanggan antarabangsa.
“Dari segi masa yang diperlukan untuk operasi pelet kayu, ia berjalan dengan lancar walaupun Pelabuhan Tanjung Bruas berdepan dengan cuaca buruk, hanya 88.8 jam operasi yang diperlukan oleh Pelabuhan Tanjung Bruas untuk berjaya menyelesaikan keseluruhan operasinya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Pelabuhan Tanjung Bruas mampu mengendalikan pelbagai jenis kargo seperti seperti gipsum (sejenis mineral) dan kargo pukal cerai seperti keluli serta kargo pukal cecair.