Apa yang pasti adalah hari tua, kematian dan cukai. Kematian adalah sebahagian daripada kehidupan. Walaupun diterima seperti cahaya di pagi hari, ia tetap diiringi kesedihan. Cuma kematian kini semakin mudah.
Covid-19 kini menjadi antara pembunuh utama di negara ini. Ia telah meragut lebih 3,000 nyawa dalam tempoh hampir 15 bulan. Kematian 3,378 mangsa koronavirus ini yang jauh daripada normal menambah kepiluan.
Kebanyakan mangsa mati secara berseorangan di katil. Hanya panggilan video terakhir menjadi ingatan terakhir mereka yang tinggal. Kebanyakan masa, mesejnya ‘jaga adik yang tinggal’ atau permohonan maaf.
Pengebumian juga tidak seperti biasa. Tiada iringan ahli keluarga dan kehendak menurunkan jasad ke dalam liang oleh anak-anak. Sebaliknya tugas itu dilakukan oleh pihak berwajib berpakaian PPE. Sanak saudara hanya mampu mendoakan dari jarak 200 meter.
Covid-19 akan diingat sebagai tragedi abad ini. Ia hanya bukan mengenai cabaran menanganinya atau mendapatkan vaksin. Ada sahaja yang kehilangan ahli keluarga.
Kelmarin, di Port Dickson, lima adik-beradik menjadi yatim piatu dalam tempoh seminggu. Ibu bapa mereka pergi selang beberapa hari. Pasangan Rodzi Tahar dan Nazita Idris menjadi sebahagian titik hitam tragedi Covid-19. Kini lima anak mereka berusia antara 23 hingga 7 tahun terpaksa meneruskan kehidupan tanpa kasih sayang ibu bapa mereka. Itu tragedi sebenar Covid-19.
Ketika tumpuan kepada dana dan bantuan kepada pekerja, peniaga, individu, perniagaan dan ekonomi, ramai terlupa siapa sebenarnya mangsa tragedi kemanusiaan ini. Ia adalah anak sulung Rodzi dan Nazita, Muhammad Haidir, 23, yang kini bertanggungjawab menyara dan menjaga empat adiknya.
Masyarakat mungkin lebih tertumpu kepada angka Covid-19 harian, jumlah yang mati atau berapa kes yang dijangkiti virus dalam radius satu kilometer. Atau tumpuan kepada apakah bantuan atau dana kerajaan selanjutnya. Semua itu mengabui mereka yang sebenarnya mangsa bencana ini.
Masyarakat secara keseluruhan harus melihat bagaimana untuk membantu anak-anak mangsa tragedi Covid-19 ini. Usaha perlu dijuruskan bagi memudahkan kehidupan mereka. Bantuan sepatutnya daripada kerajaan menerusi pelbagai agensi kebajikan.
Malah pejabat agama, pejabat zakat sehingga ke kariah masjid dan surau sepatutnya menjadi pembela anak-anak ini yang hilang tempat bergantung.
Ketika kita bergelut menangani Covid-19, PKP, total lockdown serta sibuk sama ada kenapa rokok boleh dijual atau sama ada baju dan baldi adalah barangan keperluan, mungkin kita boleh berhenti sekejap dan menoleh ke belakang serta melihat siapa mangsa sebenar tragedi ini.
Mereka yang ditinggalkan secara tragis adalah juga mangsa Covid-19 dan mereka berhak mendapat sedikit pembelaan.