PARIS – Pemain tenis Greece, Maria Sakkari bertekad untuk terus memburu kemenangan sehingga membolehkannya melakar impian ke pentas final selepas melakukan kejutan menewaskan pemain pilihan keempat, Sofia Kenin malam kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, Sakkari mempersembahkan permainan terbaiknya apabila hanya memerlukan 26 minit untuk meraih kemenangan set pertama dan mencatat kemenangan 6-1, 6-3 ke atas Kenin.
Hasil kemenangan tersebut membolehkan Sakkari melangkah ke peringkat suku akhir buat kali pertama di Roland Garros selepas rekod penampilannya sebelum ini hanya sekadar di pusingan pertama.
“Saya sangat gembira kerana ini kali pertama saya melangkah ke peringkat suku akhir di Terbuka Perancis. Saya akui perlawanan di Roland Garros adalah kejohanan kegemaran saya dan teruja dapat berada di sini.
“Saya suka beraksi di Paris dan tidak mahu keluar lebih awal. Saya akan berusaha sedaya upaya untuk kekal sehingga akhir kejohanan.
“Pada saingan kali ini, saya benar-benar menikmati permainan dan tidak meletakkan sebarang tekanan ketika berdepan pemain terbaik di gelanggang ini.
“Selepas dijadualkan berdepan Kenin, saya tahu ia bukan tugas mudah untuk menewaskannya. Saya tetap yakin dengan persiapan yang dibuat sebelum ini mampu membantu saya untuk meraih kemenangan.
“Secara keseluruhan, saya gembira dengan hasil permainan saya terutama menerusi pukulan servis. Saya harap dapat mengekalkan aksi terbaik ini sehingga ke final,” kata Sakkari yang akan berdepan juara bertahan, Iga Swiatek. – AGENSI