TANJUNG MALIM – Perak menjadi negeri kedua tertinggi merekodkan jumlah penduduk yang sudah menerima vaksin dos kedua sehingga 7 Jun lalu selepas Selangor melibatkan 104,742 penerima manakala 145,973 orang di negeri berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, perkembangan tersebut didorong oleh pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk program Jangkauan Komuniti yang dilaksanakan secara agresif di Perak sejak 11 Mei lalu.
“Antara kejayaan melalui program ini ialah kesemua 3,194 warga emas yang mendiami 118 pusat jagaan serta tiga buah Rumah Seri Kenangan di Perak sudah mendaftar dan menerima suntikan dos pertama vaksin.
“Sehingga 6 Jun pula, seramai 3,750 orang daripada 4,131 pesakit dialisis yang mendapatkan rawatan di 78 pusat dialisis kerajaan dan swasta di seluruh negeri ini telah melengkapkan dos kedua mereka manakala selebihnya sedang menunggu giliran, ” katanya pada sidang akhbar di Politeknik Sultan Azlan Shah Behrang, di sini petang tadi.
Saarani turut memaklumkan pihaknya yakin dengan pelbagai inisiatif termasuk program vaksinasi secara pandu lalu dan pembelian vaksin secara terus daripada pihak Pharmaniaga akan memantapkan lagi program vaksinasi di Perak. – K! ONLINE