fbpx

Nyanyian kurang berpihak, Azzam cuba berlakon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZZAM SHAM

MATA pencariannya dalam bidang nyanyian buat waktu ini sedikit terganggu akibat pandemik yang masih berlarutan. Dek tekanan untuk meneruskan kelestarian kehidupan, penyanyi muda Azzam Sham itu bersikap terbuka melencongkan laluan kelananya ke cabang pelakon.

Jauh di sudut hatinya, penyanyi berusia 24 tahun itu masih mendambakan kerjaya seni suaranya akan terus bersinar.

“Situasi sekarang nak buat persembahan pentas pun susah. Jadi saya kini mencari rezeki dalam bidang lakonan.

“Peluang berlakon sudah ada di depan mata, jadi saya ambil sahaja. Saya berlakon pun selepas mendapat nasihat daripada pihak pengurusan,” katanya.

Ujar Azzam, pada usia masih muda dan selagi kehadirannya dalam industri seni dipandang peminat, dia akan cuba mengaut sebanyak mungkin pengalaman yang ada untuk bekalan hari muka.

Biarpun berlakon bukan forte dalam kerjaya seninya, Azzam bersyukur peminat menerima kehadirannya dalam bidang lakonan.

“Saya sendiri pun tidak pandai nak menilai mutu lakonan saya. Tapi alhamdulillah, peminat menerima dan memberi sokongan pada kerjaya lakonan saya.

“Sejujurnya saya takut dengan kritikan,” kata pelakon drama Matilah Nak Kembali itu.

AZZAM mengakui jiwanya tidak cukup kuat terhadap kritikan dan boleh menangis kerana perkara tersebut. – IHSAN RUSA MARKETING

Menangis

Tanpa berselindung, pemilik nama sebenar Muhammad Azzammuddin Lop Hisham berkata, dia sebenarnya takut untuk menerima kritikan, lebih-lebih lagi jika kritikan tersebut boleh menjatuhkan semangatnya.

Kata Azzam, dia boleh menangis jika dikritik kerana sukar untuk menerimanya.

“Saya sebenarnya tidaklah sekuat mana. Kalau kena maki memang saya boleh menangis. Senang cerita saya memang kuat sentap.

“Tapi mahu tidak mahu, saya kena terima kritikan itu sebagai kata-kata yang membina,” ujarnya.

Ditebak tentang kesediaannya keyakinannya untuk memegang peranan utama dalam lakonan, Azzam tertunggu-tunggu juga jika dia diberikan peluang untuk memegang watak berat.

“Saya tertunggu-tunggu untuk diberikan watak utama dan anggap itu sebagai satu cabaran. Saya akan ambil peluang tersebut untuk buktikan bahawa saya boleh berlakon,” katanya.

SELEPAS bergelar pelakon, Azzam menyimpan impian untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang pengacaraan suatu hari nanti.

Berkahwin

Menyentuh soal percintaannya dengan penyanyi Sheryl Shazwanie, Azzam tanpa berselindung memberitahu bahawa dia merancang untuk menamatkan zaman bujang dengan gadis itu pada tahun hadapan.

Ujar Azzam, soalan tentang perancangan pernikahannya dengan Sheryl tiba-tiba menjadi bualan selepas rakan artis, Haqiem Rusli mengumumkan bakal menamatkan zaman bujang pada hujung tahun nanti.

“Saya sebenarnya terkejut apabila Haqiem tiba-tiba membuka mulut untuk menamatkan zaman bujang bersama gadis pilihannya pada tahun ini.

“Selepas Haqiem membuat pendedahan tersebut, ramai kalangan peminat Haqiem bertanyakan pula soal perancangan saya untuk berkahwin dengan Sheryl,” ujarnya.

Selepas diasak peminat, Azzam akhirnya membuka mulut tentang perancangannya untuk menikahi Sheryl pada tahun hadapan.

“Sebenarnya kalau ikut perancangan dengan keluarga, saya ingin menamatkan zaman bujang pada tahun hadapan. Tetapi sebelum berkahwin, saya akan melalui proses merisik dan bertunang.

“Saya dan Sheryl pun sudah menghadiri kursus perkahwinan secara dalam talian pada Oktober tahun lalu. Mohon dipermudahkan semua urusan saya,” katanya.

ENGGAN berlama-lama menunda perkara baik, Azzam merancang untuk menamatkan zaman bujang bersama kekasihnya, Sheryl Shazwanie pada tahun hadapan.

Populariti

Disoal tentang kesan populariti yang diraih bakal merudum selepas menamatkan zaman bujang, Azzam mendakwa dia tidak takut soal hilang populariti walaupun sudah dinasihati banyak pihak agar menimbang semula perancangan mendirikan rumah tangga pada usia muda.

Azzam percaya adanya rezeki selepas berkahwin dan yakin bahawa, jika sudah ditetapkan jodohnya datang lebih awal, dia tidak melihat statusnya sebagai suami suatu hari nanti akan menyekat perjalanan kariernya dalam bidang seni.

“Ramai peminat saya menyuarakan sokongan kepada saya untuk berkahwin. Saya rasa mereka (peminat) boleh menerima dan menghormati keputusan saya untuk berkahwin.

“Cuma saya berharap, jika benar mereka bersetuju dengan keputusan saya, sokong karier kami berdua sampai bila-bila,” katanya.

Biarpun sudah ada agenda untuk membawa kehidupan ke fasa baharu, buat masa ini Azzam belum merancang untuk membeli kediaman sendiri.

AZZAM bakal tampil dengan single terbaharu berjudul Baby Bambam tidak lama lagi.

Kata Azzam, bapanya memiliki sebidang tanah dah merancang untuk mendirikan sebuah rumah di tanah tersebut jika ada rezeki suatu hari nanti.

Bercerita tentang buah tangan baharunya, Azzam bakal tampil dengan sebuah lagu bergenre rancak berjudul Baby Bambam.

Kata Azzam, sebelum ini dia cukup selesa membawakan lagu berentak balada. Justeru dengan kehadiran Baby Bambam, Azzam berharap peminat dapat melihat kelainan berbanding apa yang pernah dipersembahkan sebelum ini.

“Menyanyikan lagu berentak rancak memang menjadi cabaran untuk saya. Peminat sudah terbiasa mendengarkan saya mengalunkan lagu balada. Jadi saya berharap supaya lagu Baby Bambam ini dapat menarik halwa telinga mereka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI