PETALING JAYA – Pengimport dan pengedar rasmi jenama Ferrari di Malaysia, Naza Italia telah melancarkan model hybrid, SF90 Spider.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Naza Corporation Holding Sdn. Bhd., Datuk Nik Hamdan Nik Hassan, pihaknya membawa masuk varian SF90 Spider untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan.
“Model ini akan mengekalkan penampilan versi spider dengan ciri gaya aerodinamik dan teknikal baharu yang menetapkan penanda aras baharu untuk prestasi , inovasi serta kualiti pemanduan bagi supercar.
“Kami tahu, model baharu ini bakal menawarkan pengalaman memandu yang sangat memuaskan buat pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Tambah Nik Hamdan, model itu menggunakan enjin 4.0 liter V8 turbo dan motor elektrik yang menghasilkan kuasa maksimum 162kW.
“Sistem transmisi pula menggunakan jenis lapan kelajuan dual klac dengan sistem pacuan semua roda.
“Kombinasi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 986hp dan tork maksimum 800Nm,” tambahnya.
Kadar pecutan Ferrari SF90 Spider dari pegun hingga 200 kilometer sejam boleh dicapai hanya dalam masa tujuh saat.
Ferrari SF90 Spider ditawarkan pada harga bermula RM2,088,000 seunit tidak termasuk duti, cukai dan insurans.