fbpx

Naga Emas tenang menanti ngauman Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANG-seo

PASUKAN Vietnam enggan menekan butang panik sekali pun kehilangan khidmat perancang tengah, Nguyen Quang Hai menjelang aksi menentang skuad Harimau Malaya pada saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 tengah malam Sabtu ini.

Sebagai rekod, Quang Hai telah dilayangkan kad kuning kedua kejohanan sekali gus digantung satu perlawanan selepas membantu pasukan Naga Emas melakar kemenangan bergaya 4-0 ke atas Indonesia awal pagi semalam.

Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo mengakui Quang Hai merupakan pemain yang berpengaruh tetapi masih ada beberapa pemain lagi yang berpotensi untuk mengisi kekosongan pemain itu.

“Secara jujur, mana-mana pa­sukan akan terkesan apabila kehilangan khimdat pemain seperti Quang Hai khususnya daripada aspek taktikal tetapi saya tidak terlalu risau kerana ada pemain lain yang boleh mengisi tempat pemain tersebut.

“Bukan itu sahaja, pemain pertahanan kami, Nguyen Tuan Anh juga mengalami kecederaan pada aksi semalam dan tahap kecergasannya akan dipantau dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

PARA pemain Vietnam meraikan kejayaan menewaskan Indonesia 4-0 pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai awal pagi semalam.

Pada aksi awal pagi semalam, corak serangan pantas dan berbisa dipamerkan oleh Vietnam bagaikan memberi amaran awal buat skuad Harimau Malaya untuk tampil lebih bersedia pada perlawanan nanti.

Kemenangan itu juga me­ngukuhkan kedudukan mereka sebagai peneraju kumpulan G dan Hang-seo mahu anak-anak buahnya mengekalkan momentum permainan seperti itu menjelang aksi menentang Malaysia nanti.

“Selalunya saya menggunakan taktikal 3-4-3 tetapi perlawanan ini kami perlu menang jadi saya menukar kepada formasi 3-5-2. Kami bermain begitu baik pada babak pertama tapi malangnya tidak dapat menjaringkan gol.

“Bersambung babak kedua, situasi sudah berubah apabila kami mudah meledak empat gol dan pujian harus diberikan kepada pemain. Namun, saya tidak mahu terlalu gembira kerana apa sahaja boleh berlaku pada baki dua perlawanan nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI