fbpx

Lumpur, jalan berdebu ‘peneman’ ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Laluan berisiko menuju ke SK Sungai Lokan, Kinabatangan sehingga menyebabkan kenderaan terpaksa ditunda oleh pekerja estet di kawasan berkenaan.

PETALING JAYA – Merempuh perjalanan mencabar bersama Perodua Myvinya untuk ke sekolah sudah menjadi asam garam bagi seorang pendidik, Najme Nasir, 31.

Baginya, lumpur dan jalan berdebu yang perlu diharungi di sebuah estet sudah menjadi penemannya untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lokan di Kinabatangan, Sabah.

Biarpun mencabar, ujar guru bahasa Melayu dan Matematik berkenaan, apa yang dilaluinya itu merupakan satu pengalaman yang sangat bererti bagi dirinya dalam usaha dia menabur bakti kepada anak bangsa di kawasan pedalaman zon 2 tersebut.

Najme (kanan) menyerahkan bahan pembelajaran kepada salah seorang muridnya yang tinggal di Kampung Sungai Lokan

 

Najmie menjelaskan, laluan tak berturap tersebut adakalanya menyebabkan kereta Perodua Myvi tersangkut dalam lumpur, namun ia bukanlah suatu isu besar yang menghalangnya berbakti.

“Biasanya pekerja estet kelapa sawit tersebut akan membantu mana-mana individu yang tersangkut kenderaannya, begitu juga dengan saya, pernah dibantu mereka.

“Satu lagi masalah menggunakan jalan itu adalah sekiranya hujan lebat selama beberapa hari berturut-turut, ia akan dinaiki air dari parit berdekatan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sekiranya situasi tersebut berlaku, menurut Najme, dia ataupun rakan-rakan yang lain terpaksa menunggu beberapa jam sebelum air surut dan meneruskan perjalanan.

“Sebaik air surut, kami redah sahaja laluan berlumpur itu. Ada masanya kami lambat ke sekolah kerana nak tunggu air surut kadang-kadang ambil masa sehingga tiga ke empat jam.

“Ada juga hari yang mana saya akan tumpang Toyota Hilux kenalan ekoran keretanya yang tinggi,” katanya.

Tambah dia, laluan tidak berturap itu merupakan satu-satunya jalan penghubung ke sekolah berkenaan yang terletak di Kampung Sungai Lokan.

“Satu lagi cara nak ke sekolah itu adalah dengan menggunakan perahu dengan menyelusuri Sungai Kinabatangan seterusnya ke Sungai Lokan, namun hanya seorang sahaja kakitangan sekolah menggunakan cara tersebut,” katanya.

Najme berkata, dia bertanggungjawab mendidik murid dari Tahun 3 sehingga 6 di sekolah berkenaan.

“Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kami selaku guru tetap perlu menjalankan tanggungjawab mendidik anak bangsa dan cara terbaharu adalah menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Memandangkan murid-murid tidak dapat ke sekolah lagi, kami guru-guru mengambil inisiatif menghantar bahan pembelajaran ke rumah mereka dan seterusnya membimbing dan memantau murid menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya.

Tambah dia yang menetap di Bukit Garam, ada masanya kawasan sekolah berkenaan terputus bekalan elektrik iaitu kira-kira sebulan sekali, sekali gus menjejaskan proses pembelajaran.

Bagaimanapun, ujarnya yang mula berkhidmat pada 2016, ia bukanlah satu masalah besar kerana ia jarang berlaku.

Nasir memberi tunjuk ajar kepada muridnya menyiapkan tugasan di dalam sebuah perahu di Kampung Desa Permai

Sementara itu, bagi guru SK Desa Permai di kawasan pedalaman zon 3, Nasir Jamal, 39, pula, ketiadaan jalan raya yang sempurna menyebabkan Kampung Desa Permai semakin sunyi.

Katanya, ia sekali gus menjadi faktor sekolah yang hanya memiliki enam orang guru termasuk guru besar tersebut mempunyai 10 orang murid sahaja.

Bukan itu, sahaja, katanya, dia turut berasa sedih apabila ada dalam kalangan muridnya yang tidak mahu melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah.

“Saya terpanggil untuk menasihati pelajar tapi apakan daya kita hanya mampu memberi nasihat serta pandangan,” katanya yang berasal dari Padang Rengas, Perak.

Ujar graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Maklumat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, mereka perlu menerangkan secara terperinci soalan-soalan kepada para pelajar ketika sesi pembelajaran.

“Jika bercerita tentang laut ataupun kereta api, kadang kala mereka terdiam disebabkan tidak pernah melihatnya melainkan di kaca televisyen.

“Mungkin disebabkan persaingan yang kurang dan tiada faktor yang mendorong, keterujaan untuk belajar juga kurang. Kami guru-guru sentiasa memberi galakkan setiap kali sebelum dan selepas mengajar,” ujarnya.

Nasir yang merupakan guru matapelajaran Sains berkata, antara dilakukan guru-guru adalah dengan memberi hadiah sebagai inisiatif menarik pelajar untuk belajar.

“Membaca, menulis dan mengira tidak menjadi kegusaran kami guru-guru cuma peringkat menaakul agak mencabar. Saya berasakan menaakul dapat di asah apabila persekitarannya tersedia wujud di sekeliling murid.

“Secara logik kami berusaha untuk membina pelajar boleh mengusai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M). Menaakul mungkin memerlukan lebih usaha dan pendedahan kepada pelajar,” ujarnya.

Musim banjir menyebabkan guru dan murid SK Desa Permai menghadapi masalah untuk ke sekolah.

Tambahnya, galakan untuk belajar juga agak kurang dalam kalangan keluarga di sana bahkan ramai pelajar akan mengikuti ibu atau bapa bekerja kampung.

“Pada musim padi dan buah-buahan, bilangan pelajar yang datang ke sekolah berkurang. Mereka menolong ibu bapa mengusahakan kebun.

“Bagi lelaki mereka akan menolong bapa membalak dan membelah kayu untuk dijual. Pelajar tidak berminat untuk melanjutkan pelajaran ke bandar kerana lebih selesa bekerja kampung,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, dia yang menetap di Kuamut menggunakan laluan sungai untuk ke sekolah tersebut sejak mula menetap di sana pada 2010.

“Jadi, cara yang tinggal adalah dengan menggunakan perahu. Saya akan berjalan kaki ke sebuah pengkalan yang terletak berhampiran rumah sebelum menaiki perahu untuk ke sekolah.

“Dari pengkalan, saya akan menyelurusi Sungai Kuamut sebelum memasuki Sungai Kinabatangan selama 15 minit sebelum tiba di sekolah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI