SEBERANG PERAI – Sebuah feri ikonik yang sebelum ini dilaporkan hampir karam akibat mengalami kebocoran di dalam Sungai Perai di Limbungan Bagan Dalam, Butterworth di sini berjaya diapungkan semula malam tadi.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng berkata, Feri Pulau Pinang berkenaan diapungkan semula kira-kira pukul 10 malam.
“Namun, pasukan pembaikan kami akan terus memberi perhatian dan pemeriksaan sepenuh kepada keadaan feri dari semasa ke semasa untuk memastikan peristiwa ini tidak akan berlaku lagi.
“Sekiranya semua tindakan pembaikan telah siap dilaksanakan, feri itu akan ditempatkan di Tanjung City Marina dan akan diubah suai sebagai muzium terapung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, beberapa keping gambar memaparkan keadaan feri itu yang dimasuki air dan dalam keadaan senget tular di media sosial sehingga mengundang respon banyak pihak.
Feri berkenaan tidak lagi digunakan sejak November 2019 dan sedang menunggu pembida bagi urusan pajakan. – K! ONLINE