ALOR GAJAH – Empat wanita pekerja kilang biskut cedera apabila van dinaiki mereka terbalik selepas melanggar kabel Telekom Malaysia di Jalan Kampung Pegoh Dalam, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, kesemua mangsa dalam lingkungan usia antara 25 hingga 50 tahun mengalami kecederaan di beberapa anggota badan dan dikejarkan ke hospital.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Penolong Penguasa Kanan Bomba Mohd. Zamri Omar berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 10.33 malam.
Katanya, sepasukan lapan anggota bersama-sama satu jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian dalam perjalanan jarak lapan kilometer.
“Pasukan bomba tiba dilokasi pada pukul 10.40 malam dan mendapati sebuah van kilang terbabas dalam keadaan terbalik.
“Pemeriksaan dalam kenderaan, terdapat lapan penumpang yang terselamat dan kerja-kerja penyelamatan dilakukan. Kesemua mereka berjaya dikeluarkan pada pukul 11.18 malam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.-K! ONLINE