PARIS – Pemain ranking No.2 dunia, Novak Djokovic terselamat daripada tersingkir di kejohanan tenis Terbuka Perancis selepas menerima tentangan hebat pemain muda Itali, Lorenzo Musetti pada pusingan keempat awal pagi semalam.
Pada perlawanan tersebut, pemain Serbia itu dilihat cemas selepas tewas dua set pertama, namun bangkit meraih kemenangan dua set kemudian sebelum pemain berusia 19 tahun itu membuat keputusan menarik diri selepas mengalami kecederaan pada set penentuan.
Djokovic mencatat kemenangan dengan keputusan 6-7, 6-7, 6-1, 6-0, 4-0 sekali gus mara ke mara ke pusingan suku akhir Roland Garros buat kali ke-15.
“Saya suka apabila berdepan pemain muda terutama dalam aksi lima set walaupun ketika itu saya ketinggalan dua set awal. Sayangnya, dia (Musetti) terpaksa menarik diri akibat kecederaan.
“Saya telah meraih banyak kemenangan dalam pertarungan lima set seperti ini dan pengalaman itu membantu saya,” kata Djokovic.
Hasil kemenangan tersebut, Djokovic dijadual berdepan Matteo Berrettini juga dari Itali.
Dalam pada itu, pemain pilihan ketiga, Rafael Nadal turut mara ke suku akhir Terbuka Perancis buat kali ke-15, sekali gus berada di landasan tepat memburu gelaran ke-14 di Roland Garros.
Pada saingan tersebut, Nadal menundukkan pemain berusia 19 tahun dari Itali, Jannik Sinner 7-5, 6-3, 6-0 dan akan berdepan pilihan ke-10 Diego Schwartzman dari Argentina yang ditewaskannya pada separuh akhir tahun lalu. – AGENSI