PETALING JAYA – Beberapa kawasan di Sabah, Kelantan dan Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Jumaat ini hingga 24 Jun depan berikutan penularan mendadak jangkitan Covid-19 di kawasan tersebut.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan yang dikenakan PKPD di Sabah ialah Kampung Singgahmata, Kampung Sin San, Kudat dan Perumahan Kilang, Ladang Ong Yah Ho, Kinabatangan.
“Selain itu, dua lokaliti di Tumpat, Kelantan melibatkan Kampung Kutan Tengah dan Kampung Ketil turut dikenakan PKPD dalam tempoh yang sama selepas terdapat 122 kes positif di kawasan tersebut.
“Sementara di Pahang, tiga kawasan di sekitar Felda Tembangau 1, Felda Tembangau 3 dan Felda Jengka 7 turut dikenakan PKPD selepas berlaku peningkatan kes positif,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, PKPD di Pangsapuri Permai dan Sri Penara (Blok C dan D) dijadualkan tamat esok selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan penurunan kes dan kluster adalah terkawal.
“Sepanjang tempoh itu, seramai 607 penghuni Pangsapuri Permai telah disaring dan 50 daripadanya disahkan positif manakala di Pangsapuri Sri Penara, 56 kes direkodkan hasil daripada 804 ujian saringan yang dilakukan oleh KKM.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di kawasan tersebut esok seperti yang dijadualkan,” katanya. – K! ONLINE