PUTRAJAYA – Jumlah agihan dos vaksin Covid-19 di Selangor akan ditingkatkan kepada 25 peratus selaras dengan pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) bertaraf mega di negeri yang mempunyai jumlah penduduk amat tinggi berkenaan.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia juga sejajar titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam yang berharap agar Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk rakyat negeri Selangor.
“Ketika ini, 17 peratus daripada keseluruhan dos vaksin dihantar ke Selangor, namun ekoran situasi kes Covid-19 tinggi di negeri itu, jumlahnya akan ditingkatkan kepada 25 peratus,” katanya katanya dalam sidang akhbar mingguan PICK bersama-sama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba di sini hari ini.
Khairy Jamaluddin berkata, beliau optimis dapat mencapai sasaran 300,000 dos sehari menjelang Ogos depan dengan mengambil kira perkembangan terkini proses vaksinasi di seluruh negara yang semakin lancar selain pemerolehan bekalan baharu vaksin.
“Sukacita saya ingin memaklumkan di sini bahawa semalam kadar vaksinasi negara telah mencatatkan satu lagi peningkatan baharu iaitu sebanyak 151,309 dos sehari,” katanya.
Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin menjangkakan sebanyak 150,000 dos setiap hari boleh dicapai secara konsisten dan berharap pada bulan depan, negara mampu menepati perancangan sasaran sebanyak 200,000 dos sehari. -K! ONLINE