Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
KESUNGGUHAN yang ditunjukkan oleh pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah bagi mengejar cita-cita mengharumkan nama negara berjaya menambat hati Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk mengembangkan perjalanan kariernya.
Menurut Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam temu bual secara langsung di laman Instagram malam kelmarin, buat masa ini belum ada perancangan rapi yang dibuat melibatkan pelumba negara itu.
Beliau menjelaskan, bantuan yang difikirkan buat masa ini ialah dari segi menaja Hafizh Syahrin selain meneliti perkara lain yang berkaitan.
“Saya mengikuti perkembangan Hafizh Syahrin dan suka melihat disiplin beliau yang bersungguh-sungguh mencipta nama dalam sukan permotoran. Ini yang menarik minat saya untuk menajanya.
“Setakat ini, tidak ada perbincangan mengenainya lagi yang menjurus kepada berapa bajet yang diperlukan serta perancangan jangka panjangnya,” katanya.
Jumaat lalu, Tunku Ismail mengejutkan peminat sukan permotoran tanah air apabila menyuarakan minat untuk menaja pelumba Moto2 negara tersebut.
Hafizh, 27, ketika ini beraksi bersama pasukan NTS RW Racing GP dalam saingan Moto2 pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).
Pelumba itu menduduki tangga ke-21 dalam carta pelumba keseluruhan dengan mengutip lapan lapan mata bagi saingan Moto2 musim ini.
Hafizh merekodkan keputusan terbaiknya musim ini pada minggu lalu apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan kesembilan pada Grand Prix (GP) Itali di Litar Mugello, Itali.
Menurut Tunku Ismail, ini bukan kali pertama beliau membantu menaja dan menaikkan nama atlet kebangsaan kerana sebelum ini atlet yang terlibat ialah petinju profesional negara, Muhammad Farkhan Haron.
Muhammad Farkhan pernah memenangi tali pinggang Juara Antara Benua Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF) pada Disember 2019.
Kemenangan itu menyaksikan Muhammad Farkhan terus mempertahan gelarannya bagi Juara Asia kelas Cruiserweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) dan kelas Light Heavyweight Majlis Tinju Dunia (WBC).