PASIR MAS – Tiga lelaki yang dipercayai sedang khayal ketika sedang menghisap dadah dicekup bersama 1,800 biji pil kuda dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Banggol Ara di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 11 malam itu, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat tujuh gram dengan nilai keseluruhan termasuk kesemua pil kuda yang berjumlah RM18,350.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, semasa serbuan dijalankan, ketiga-tiga suspek berusia 35 hingga 44 tahun ketika itu dipercayai sedang leka menghisap dadah di dalam rumah itu.
Katanya, apabila menyedari kehadiran polis, mereka cuba untuk melarikan diri sehingga berlaku sedikit pergelutan sebelum berjaya ketiga-tiga suspek dapat diberkas.
“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah telah membawa kepada penemuan dadah jenis syabu dan 1,800 biji pil kuda.
“Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis Methamphetamine. Selain itu, salah seorang suspek yang berusia 44 tahun turut mengaku bahawa dadah yang dijumpai itu adalah miliknya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. -K! ONLINE