PETALING JAYA -Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan penganjuran sebuah rancangan berbentuk hiburan di televisyen ekoran disifatkan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Menerusi ciapan di laman Twitternya, Syed Saddiq mempersoalkan mengapa sidang Parlimen masih lagi ditutup walaupun sudah ramai Ahli Dewan Rakyat telah menerima vaksin.
“Mengapa Parlimen ditutup sedangkan majoriti wakil rakyat sudah divaksin dan kelengkapan di Parlimen mengikuti SOP tetapi rancangan hiburan sekarang ada yang tidak memakai topeng, pelitup muka dan tiada penjarakan sosial masih ditayangkan di televisyen?” soal beliau.
Dalam ciapannya, Syed Saddiq turut meminta Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memberi maklum balas kepada pertanyaannya.
Sementara itu, rata-rata pengguna turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengendalian SOP yang dipercayai berat sebelah sehingga rancangan hiburan sebegitu dapat dijalankan seperti biasa.
“Saya pun rasa pelik. Takkan tiada langsung perlindungan sepanjang penggambaran rancangan hiburan ini? Saya bersangka baik, mungkin penggambaran dijalankan pada tahun 2019,” ciap @rasyaik.
“Rancangan seperti ini sangat tidak sesuai ditayangkan di televisyen pada waktu ini. Melalaikan dan nampak seperti tidak prihatin dengan suasana negara yang sedang tenat melawan wabak Covid-19, walaupun rancangan ini sekadar rakaman,” ujar @shahabdkadir.
Sementara itu, Kosmo! Online difahamkan program itu telah dirakamkan sebelum lockdown penuh minggu lalu.
Melalui satu hantaran penyanyi Siti Nordiana yang turut serta dalam program yang dimaksudkan memaklumkan program itu telah dirakamkan sebelum lockdown penuh dengan pematuhan SOP yang ketat. -K! ONLINE