PARIS – Pemain pilihan ke-21, Elena Rybakina mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri apabila mudah menewaskan juara Grand Slam sebanyak 23 kali, Serena Williams pada aksi pusingan keempat Terbuka Perancis awal pagi semalam.
Pada saingan tersebut, atlet dari Kazakhstan itu tidak mempunyai masalah untuk merekodkan kemenangan straight-set 6-3, 7-5 ke atas Serena yang berusia 40 tahun sekali gus menempah tiket ke suku akhir kejohanan bertaraf Grand Slam buat kali pertama.
Kata Rybakina, kemenangan tersebut sememangnya tidak disangka terutama ketika dia menentang pemain yang lebih berpengalaman seperti Serena yang dianggap sebagai idolanya dalam arena tenis antarabangsa.
“Ketika kecil, apabila saya menonton perlawanan tenis di televisyen, sudah tentu tumpuan akan diberikan kepada Serena dan itulah yang berlaku sejak 20 tahun lepas.
“Justeru, pertemuan menentang Serena adalah kesempatan buat saya membuktikan keupayaan sebenar dan saya gembira dapat menang perlawanan ini,” katanya.
Sementara itu, Rybakina dijadualkan bertemu dengan pemain sensasi dari Rusia, Anastasia Pavlyuchenkova yang berjaya menyingkirkan pemenang Grand Slam dua kali, Victoria Azarenka dengan keputusan 5-7, 6-3, 6-2.
Kemenangan tersebut menyaksikan Pavlyuchenkova mara ke pentas suku akhir Terbuka Perancis buat pertama kali sejak edisi 2011.
“Secara jujur, ini adalah perlawanan yang sukar kerana Azarenka tidak memberikan laluan mudah apabila menang set pertama.
“Namun, usaha keras saya membuahkan hasil dan saya agak terkejut masih mampu berjaya mara ke pentas suku akhir Terbuka Perancis selepas kali terakhir melakukannya pada 10 tahun lalu,” katanya. – AGENSI