PETALING JAYA – Sebanyak 68 peratus daripada rakyat Malaysia memilih untuk kembali menjalankan tugasan di pejabat atau pun tempat kerja mereka sekurang-kurangnya untuk dua hari dalam seminggu pasca pandemik.
Menurut kaji selidik yang dijalankan firma teknologi hartanah, Juwai IQI berhubung impak Covid-19 terhadap gaya hidup di Malaysia yang melibatkan hampir 400 responden itu mendapati, hanya 27 peratus pekerja ingin bekerja dari rumah sepenuh masa.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Juwai IQI Group, Kashif Ansari berkata, sebahagian daripada kakitangan mendapati mereka dapat menyelesaikan lebih banyak tugasan dan mencapai lebih kepuasan dengan bekerja dari rumah, namun jelas bukan untuk semua.
Tambah beliau, fenomena bekerja dari rumah dilihat telah mengubah jenis kediaman yang dicari pembeli, antaranya melibatkan penyediaan ruang lebih luas, ruang kerja terpisah atau pejabat rumah dan bilik tidur tambahan sekiranya mampu.
“Beberapa pembangunan baharu paling laris tahun ini menggabungkan ruang kerja di rumah dan kemudahan ala resort yang direka khas untuk menampung keperluan bekerja dari rumah,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Selain itu, Kashif menjelaskan, hasil kajian berkenaan mendapati, hampir 71 peratus responden berpendapat kehidupan mereka akan kembali normal pada hujung tahun 2022.
“Namun bukan semua bersifat optimistik, 17 peratus responden beranggapan kehidupan mereka hanya akan kembali seperti sebelum ini pada tahun 2023,” terang beliau.