MELAKA – Seorang penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) rugi RM12,810 selepas tertipu dengan tawaran kerja mudah menekan butang ‘Like’ dan menonton iklan, pada awal bulan lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri Superintendan E Sundra Rajan berkata, mangsa yang berusia 23 tahun tertarik dengan tawaran pekerjaan berkenaan selepas melihat iklannya di laman sosial Facebook.
Katanya, pelajar lelaki itu dijanjikan dengan pendapatan berjumlah RM17,290.13 sekiranya membuat 60 tugasan mudah menekan butang ‘Like’ dan menonton iklan menerusi aplikasi EZJOB.
“Mangsa yang berminat telah berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp dan diminta untuk melakukan 60 tugasan iaitu perlu ‘LIKE’ video serta melihat iklan.
“Selepas menyelesaikan semua tugasan, mangsa dikatakan boleh menebus wang pendapatan berjumlah keseluruhan RM17,290.13,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Sundra berkata, selepas menyelesaikan kesemua tugasan, mangsa bagaimanapun diminta untuk membuat pembayaran terlebih dahulu sebelum menebus wang dijanjikan.
“Pada 4 Mei lalu, mangsa telah membuat lima transaksi pembayaran berjumlah RM12,810 ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek.
“Mangsa mendakwa telah membuat pembayaran itu dengan menggunakan wang simpanannya serta ahli keluarga yang lain,” katanya.
Tambahnya, selepas melakukan transaksi suspek bagaimanapun masih menghubungi mangsa dan meminta untuk memasukkan wang bagi tujuan penebusan, namun pemuda itu tidak mengikuti arahan tersebut kerana berasa tertipu.
Katanya, mangsa telah membuat laporan polis ke Balai Polis Merlimau, Jasin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – K! ONLINE