BALIK PULAU – Pantai Kucing di Teluk Bahang yang dihuni lebih 200 ekor kucing memerlukan sumbangan daripada orang ramai bagi menampung keperluan haiwan berkenaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan.
Ini kerana, sejak PKP dilaksanakan pencinta haiwan berkenaan yang selalunya akan memberi dan menyumbang makanan kucing di situ tidak dapat mengunjungi kawasan tersebut.
Pengasas pusat perlindungan kucing jalanan di Pantai Kucing ,Teviot Fairservis berkata, dia bimbang apabila dana untuk pihaknya membeli bekalan makanan, ubat-ubatan serta multivitamin bagi kucing di situ menyusut akibat PKP.
“Sebelum ini orang ramai akan datang bermain dengan kucing di sini sambil membawa bekalan makanan serta keperluan lain bagi kucing yang menjadi penghuni pantai ini.
“Namun selepas PKP, pantai ini sepi kerana ramai penyumbang kami berada di daerah Timur Laut, jadi mereka sukar untuk datang ke pantai yang terletak di daerah Barat Daya,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, jumlah perbelanjaan untuk seekor kucing di pusat itu adalah hampir RM100 sebulan dan kira-kira RM20,000 diperlukan setiap bulan untuk pembelian makanan dan barangan keperluan kucing di pantai itu.
“Kucing-kucing yang dibuang di sini juga ada yang sakit serta memerlukan rawatan di klinik haiwan serta perlu diberi vitamin.
“Kami berusaha menyelamatkan mereka, namun kami bimbang kerana dana yang ada semakin menyusut untuk menguruskan kucing-kucing ini,” katanya.
Bagi mereka yang ingin menyumbang bantuan bagi kucing di pantai berkenaan, anda boleh berhubung dengan Teviot dan sukarelawan Pantai Kucing di laman Facebook Cat Beach.