fbpx

Minyak masak botol tidak diberikan subsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan bahawa minyak masak botol tidak diberikan subsidi dan dijual mengikut harga pasaran berdasarkan mekanisme pengapungan harga.

Subsidi hanya diberikan kepada minyak masak yang dipek dalam bungkusan polibeg satu kilogram (kg) dan ditawarkan kepada pengguna pada harga mampu milik iaitu RM2.50 sepaket walaupun harga minyak masak mentah (CPO) di pasaran dunia meningkat pada masa ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, minyak masak yang dijual dalam botol plastik bersaiz 2kg, 3kg, 5kg dan dalam tin 17kg adalah tidak bersubsidi di mana harganya ditentukan oleh harga CPO di pasaran dunia.

Beliau berkata, harga CPO di pasaran dunia ketika sudah mencecah lebih RM4,500 tan
metrik berbanding sebelum ini kira-kira RM2,500 tan metrik sahaja yang bersamaan RM4.50 per kg sebelum diproses dan dibotolkan.

“Ini bermakna kos minyak sawit mentah sahaja sebelum dibotolkan sudah melebihi RM22 untuk 5kg. Ia tidak termasuk kos-kos lain seperti pemprosesan, pembotolan, pengangkutan dan keuntungan di semua peringkat kilang, pemborong, pengedar dan peruncit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, rakyat boleh membuat pilihan sama ada hendak membeli minyak masak bersubsidi dalam kemasan polibeg 1kg atau yang tidak bersubsidi dalam kemasan botol plastik dan tin.

“Kerajaan memberi jaminan kualiti minyak masak sawit bersubsidi yang dijual dalam polibeg adalah sama dengan yang dijual dalam botol malahan ada di antaranya dikeluarkan dari kilang sama,” katanya.

Sementara itu, Alexander berkata, KPDNHEP sedang berbincang dengan beberapa kementerian dan agensi berkaitan untuk mempertingkatkan mekanisme pelaksanaan harga untuk minyak masak bersubsidi dan tidak bersubsidi di pasaran bagi mengurangkan beban pengguna.

“Kerajaan akan memaklumkan hasil perbincangan dan mekanisme yang dipersetujui,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI