fbpx

Lupakan dulu soal sosial media

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD Harimau Malaya diingatkan agar menterjemahkan segala usaha keras ketika latihan di atas padang menjelang aksi menentang Vietnam pada Jumaat ini.

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

SKUAD kebangsaan dijangka berdepan misi sukar untuk me­ngutip tiga mata penting apabila berdepan Vietnam pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jumaat ini.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, pemain perlu memberi tumpuan penuh pada sesi latihan dalam masa lima hari ini menjelang perlawanan penting tersebut.

Beliau yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) berkata, pasukan lawan menunjukkan peningkatan mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini selain dibantu dengan liga mereka yang bertambah kompetitif.

“Mereka (Vietnam) berbelanja besar untuk majukan sukan bola sepak sejak beberapa tahun lalu, malah liga tempatan mereka juga makin kompetitif seiring dengan perkembangan positif itu.

“Saya rasa kita mampu memberi tentangan, namun mereka bukan lawan yang mudah. Permainan mereka cukup teratur dan barisan pemainnya juga menunjukkan disiplin tinggi.

“Jadi untuk menang perlawanan itu, pemain harus beri tumpuan pada sesi latihan dan lupakan dulu soal sosial media ini,” katanya dalam sesi Borak Live di Instagram malam kelmarin.

Jumaat lalu, pemain pertahanan Harimau Malaya, Matt Davies memuat naik sekeping gambar di Instagramnya dengan kapsyen, ‘masa untuk betulkan kesilapan dan kembali dengan lebih kuat, fokus pada perlawanan akan datang’.

Tunku Ismail kemudian me­ninggalkan ayat sinis di ruangan komen bermaksud pemain itu sendiri perlu terlebih dahulu ­diamkan diri daripada media sosial dan fokus pada latihan.

Tunku Ismail menjelaskan, mesej itu bukan ditujukan kepada Davies sahaja, malah kepada semua pemain yang turut berinteraksi di dalam ruang komen tersebut supaya menterjemahkan kerja keras di atas padang.

“Mereka ini pemain terpilih bagi menggalas tugas bersama skuad kebangsaan dan kita perlu membalas harapan menggunung seluruh rakyat Malaysia terhadap kita. Jadi, fokus hanya pada persiapan perlawanan akan datang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI