KLANG – Lebih RM100juta diperuntukkan dalam menaik taraf Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) kelolaan Maritim Malaysia (APMM) untuk mengekang ancaman Covid-19 menerusi kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui perairan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sistem itu merupakan rangkaian radar 24 jam dalam mengawasi dan mengesan semua jenis pergerakan bot atau kapal yang mencurigakan di perairan negara.
Katanya, komponen penting bagi SWASLA ialah menara radar atau Remote Sensor Site (RSS) yang terletak di 11 lokasi perairan Selat Melaka dan tiga di sekitar Pantai Barat Sabah.
“Rancangan telah bermula sejak tiga tahu lalu dan kerajaan bersetuju memberikan peruntukkan dalam menambah baik, membaiki kelemahan dan kerosakan SWASLA.
“Saya berharap projek ini akan dapat dilaksanakan dalam tempoh satu atau dua bulan ini,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Area Control Centre (ACC) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 19,196 pengesanan dilakukan menerusi sistem radar SWASLA dan semua kontak curiga yang dikesan akan disalurkan terus kepada aset di laut untuk melakukan pemintasan dalam tempoh setahun Op Benteng yang dimulakan Mei tahun lalu.
“Daripada 443 sasaran curiga tersebut itu mendapati sebanyak 372 kontak telah berjaya diambil tindakan melalui pemeriksaan, penahanan, pengusiran, amaran dan komunikasi.
“Kita turut melakukan 40 tangkapan dan pendakwaan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan dadah dan rokok serta kapal yang berlabuh di lokasi tidak dibenarkan,” jelasnya. -K!ONLINE