PETALING JAYA – Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM) melahirkan kebimbangannya jika pelaksanaan penutupan penuh atau total lockdown bermula 1 Jun lalu akan diteruskan sehingga sebulan atau dua bulan lagi.
Menurut Presidennya, Datuk Azman Yusoff, jika perkara ini berlaku, ia akan memberi tekanan dan menjejaskan pendapatan kebanyakan daripada ahli-ahlinya yang kini sudah sedia terkesan untuk bangkit semula seterusnya bakal memburukkan lagi keadaan.
“Sekiranya, selepas dua minggu pelaksanaan total lockdown ini masih terbukti tidak berkesan, maka kerajaan perlu mengambil langkah tegas dengan menutup semua industri kecuali yang benar-benar perlu.
“Tindakan ini perlu dilaksanakan supaya total lockdown tidak perlu dilanjutkan berulang kali.
“Buat masa ini, ada kilang-kilang besar yang masih beroperasi dan telah menjadi kluster baharu penyebaran Covid-19,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Azman menjelaskan, melihat kepada jumlah jangkitan baharu harian Covid-19 yang belum menunjukkan penurunan signifikan selepas seminggu pelaksanaan total lockdown, kerajaan harus segera membuat keputusan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac tahun lalu.
Selain itu, perniagaan di negara ini juga perlu bersedia menghadapi SOP yang lebih ketat dalam jangka masa terdekat ini.
Mengakui PPIPBM mangambil pendirian tidak bersetuju dengan cadangan total lockdown pada bulan lalu, tetapi Azman menjelaskan pihaknya tetap menyokong penuh keputusan diambil, namun pelaksanaannya biarlah tegas dan benar-benar berkesan mengekang penularan pandemik.
Tambah beliau, kerajaan sentiasa mendengar keluhan para pengilang dan peniaga dalam keadaan ekonomi yang sukar kini dan telah menyediakan pelbagai bantuan baharu sekiranya pelaksanaan total lockdown perlu diteruskan.