Kelmarin Kementerian Pendidikan mengumumkan sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan disambung lagi selama 25 hari selepas persekolahan dibuka semula pada minggu depan.
Ketika ini semua pelajar sekolah dalam cuti penggal selama dua minggu sejak minggu lepas.
Pengumuman itu sebenarnya boleh diagak memandangkan kes Covid-19 harian masih melebihi 6,000 kes setiap hari, mana mungkin sekolah akan dibuka.
Apa yang paling mencabar ketika ini adalah melaksanakan PdPR ketika Perintah Kawalan Pergerakan Penuh, namun pada sama ibu bapa turut bekerja dari rumah.
Macam-macam ragam itu sudah tentu, ada anak yang mahu ibu bapa duduk di sebelah sepanjang kelas PdPR sedangkan ibu bapa sendiri ada mesyuarat menggunakan Google Meet ketika itu.
Jangan kata jika ibu bapa berada di rumah PdPR akan lebih senang. Maaf, dugaan seseorang itu berbeza-beza.
Jika yang mempunyai anak bersekolah sudah tentu maklum bahawa jadual PdPR sentiasa berubah-ubah sejak PdPR dibuat semula ketika hujung-hujung Ramadan baru-baru ini.
Bayangkan PdPR dibuat seperti jadual dalam kelas fizikal ketika itu, dengan adanya lima mata pelajaran sehari, maaf anak penulis boleh tumpu sehingga tiga mata pelajaran sahaja.
Ramai juga ibu bapa mengatakan ia jadual PdPR syok sendiri.
Pada pandangan penulis, jadual PdPR tidak boleh dibuat seperti kelas fizikal kerana suasananya berlainan.
Tumpuan pelajar terutama pelajar sekolah rendah tahap satu di rumah lebih leka kerana ada yang ibu bapa keluar bekerja dan mereka dipantau oleh adik-beradik sahaja.
Pelajar tahap satu ini lebih fokus jika di sekolah bukannya di rumah.
Sedikit lega apabila selepas Aidilfitri baru-baru ini, jadual PdPR bertukar lagi dengan lebih relevan hanya dua atau tiga mata pelajaran bukannya seperti ikut jadual di sekolah.
Penulis bernasib baik apabila mempunyai seorang anak kelas PdPR sesi pagi dan seorang anak kelas sesi petang.
Tidak dapat dibayangkan jika ada empat orang semuanya sesi pagi dengan kita sendiri ada mesyuarat Google Meet ketika itu, sudah tentu haru-biru dibuatnya.
Berdoalah Covid-19 cepat berakhir, jangan lupa ambil vaksinasi supaya rakyat negara ini ada imunisasi berkelompok dan kembali normal.
Anak-anak boleh ke sekolah seperti biasa dan pelajaran tidak ketinggalan lagi.