SACRAMENTO, California – Pasangan diraja Britain, Putera Harry dan Meghan Markle mengesahkan akan mengambil cuti dari sebarang pekerjaan selama 20 minggu atau lima bulan bagi menjaga anak kedua mereka yang baru dilahirkan pada 4 Jun lalu, lapor akhbar Daily Mail, kelmarin.
Sumber rapat pasangan itu memberitahu akhbar Evening Standard bahawa pasangan itu sangat teruja dengan kehadiran Lilibet ‘Lili’ Diana dan anak sulung mereka, Archie juga tiada masalah dalam penerimaan ahli baharu dalam keluarga itu.
“Kita sudah terbiasa melihat pasangan diraja yang lebih senior kembali bekerja dalam masa singkat selepas kelahiran cahaya mata tetapi Harry dan Meghan ingin menjadi contoh terbaik bagi Yayasan Archewell milik mereka.
“Kakitangan yayasan akan ditawarkan cuti paterniti selama 20 minggu seperti yang diambil oleh pasangan ini,” ujar seorang wartawan kegemaran Harry dan Meghan, Omid Scobie.
Dalam pada itu, Scobie sempat ditanya berkenaan pemberian nama anak kedua pasangan ini yang memberi penghormatan kepada Ratu Elizabeth memberi tanda positif untuk hubungan lebih baik di masa hadapan.
“Saya tidak pasti tetapi pemberian nama Lilibet membuktikan betapa rapat Harry dan Meghan dengan baginda sebelum semua hal ini berlaku,” katanya. – Agensi