PETALING JAYA – Pemaju hartanah, NCT Group of Companies merekodkan satu lagi pencapaian utama apabila pembangunan ikoniknya, Grand Ion Majestic diiktiraf sebagai Pelaburan Pembangunan Bertingkat Tinggi Terbaik di Anugerah Kecemerlangan Pembangunan iProperty 2021 oleh laman web hartanah, iProperty.com.my.
Anugerah tahunan yang diadakan baru-baru ini itu mengiktiraf kecemerlangan dalam pembangunan hartanah oleh panel bebas yang terdiri daripada pakar industri.
Terletak di Genting Highlands, Pahang, Grand Ion Majestic menggabungkan seni bina moden yang inovatif, dilengkapi kemudahan bertaraf dunia serta pemandangan Banjaran Titiwangsa yang menakjubkan.
Pembangunan atas tanah berkeluasan 0.8 hektar itu terdiri daripada tiga blok menara yang memiliki 1,885 unit pangsapuri.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan NCT Group, Datuk Seri Yap Ngan Choy berkata, pihaknya fokus dalam merealisasikan misi untuk mencipta karya seni bina dan menetapkan standard baharu dalam industri hartanah di negara ini.
“Membangunkan projek mega pada ketinggian sebegini bukanlah tugas yang mudah dan pengiktirafan ini membuktikan kemampuan serta kepakaran kami dalam segmen ini.
“Ketika melaksanakan projek ini, kami menghadapi banyak cabaran terutama dalam aspek geografi yang memerlukan perancangan dan kemahiran pengurusan projek yang luas.
“Namun kesemua faktor ini telah berjaya menyumbang kepada keunikan pembangunan Grand Ion Majestic,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.
Tambah beliau, syarikat berbangga kerana iProperty menyedari potensi dalam pembangunan ini yang akan membawa nilai pelaburan yang besar kepada pelabur.