fbpx

Epilog duka Marsha Milan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MARSHA MILAN

INSAN mana yang mahu dijangkiti virus pembawa maut. Namun semakin ditakuti, semakin mendekat pula dugaan tersebut memasuki hidup.

Situasi tersebutlah yang dialami Marsha Milan, sehinggalah hanya baru-baru ini dia sanggup membuka cerita. Sebenarnya, Covid-19 pernah berumah dalam tubuhnya sekitar awal Mei lalu.

Serangan virus Covid-19 bukanlah satu memori indah untuk dikenang.

Mengalami jangkitan paru-paru, terpaksa mendapatkan rawatan intensif di sebuah hospital di Seremban, Negeri Sembilan sebelum kemudiannya dipindahkan ke pusat perubatan swasta di ibu negara, semua itu bagaikan mimpi ngeri buat Marsha Milan Londoh.

“Keadaan kesihatan saya semakin baik. Walaupun virus tidak lagi aktif dan telah keluar dari hospital, deria bau saya masih belum pulih sepenuhnya,” jawabnya ringkas.

DUGAAN yang dilalui nyata menerbitkan kekuatan dari dalam diri Marsha Milan untuk terus kuat meneruskan kehidupan pada hari mendatang.

Dugaan Covid-19

Antara simptom yang dialaminya ialah batuk, sukar bernafas, sakit kepala dan hilang deria bau serta rasa.

Bercerita mengenai keadaan emosinya ketika mendapat pengesahan dijangkiti virus tersebut, Marsha mengakui emosinya sangat bercelaru.

“Awalnya, saya sangkakan diri mengalami anxiety (kebimbangan) tetapi selepas ujian calitan, saya disahkan positif.

“Ketika itu, sangat beremosi dan perasaan saya sangat terganggu, rasa sedih dan takut bercampur-campur.

“Saya berdoa tanpa henti dan bersyukur Tuhan kurniakan kekuatan dalam diri untuk terus melawan virus serta kesedihan ini.

“Sekarang, semuanya semakin stabil,” tutur isteri kepada Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail itu.

Berkongsi pengalaman dijangkiti Covid-19, pelantun lagu Bimbang itu menasihatkan semua pihak agar patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan jangan ‘senyap’ sekiranya mempunyai simptom Covid-19.

“Saya juga patuh SOP tetapi selepas dijangkiti, perasaan berjaga-jaga jadi lebih ekstra.

“Jika ada simptom, teruslah lakukan ujian calitan. Jangan jadi penyebar virus kepada individu di sekeliling,” katanya.

AKUI Marsha, emosinya sedikit bercelaru selepas disahkan positif Covid-19 pada awal Mei lalu.

Pemergian bapa mertua

Tidak henti diduga dengan kesihatan sendiri, emosi Marsha sekali direntap pada 22 Mei lalu dengan pemergian bapa mertua, Datuk Seri Mohamed Ismail Mohamed Othman, 60, akibat Covid-19.

Sayu mengenangkan banyak memori indah tersimpan sejak bergelar menantu kepada figura yang dihormati itu, Marsha sebenarnya berdepan satu kehilangan yang cukup besar.

Memanggil Allahyarham dengan gelaran ‘baba’, dia tidak menyangka pertanyaan tentang solat subuh menjadi antara ayat-ayat terakhir yang diungkapkan Allahyarham kepadanya.

“Semasa saya dirawat di Seremban akibat Covid-19, Allahyarham pula sedang menerima rawatan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.

“Suatu hari, dia menelefon saya pada awal pagi dan perkara pertama ditanya ialah, ‘Marsha sudah solat subuh ke? Sudah makankah?’

“Arwah juga memberitahu akan berusaha memindahkan saya ke Kuala Lumpur. Tidak sangka momen itu menjadi perbualan terakhir kami,” kongsi bekas pelajar Akademi Fantasia musim ketiga itu sedikit sebak.

Meskipun reda dengan pemergian insan yang begitu dihomati, namun kehilangan Mohamed Ismail memberi impak besar terhadap keluarga mentuanya.

“Baba meninggalkan kerinduan yang menebal buat kami sekeluarga. Positifnya, kami jadi semakin rapat.

“Biarpun sedih, kami reda dengan perancangan Allah SWT. Alhamdulillah masih ada kekuatan untuk melangkah kaki dalam merempuh pagar kerinduan dan belenggu memori indah bersama Allahyarham,” ujar pelantun lagu Bimbang itu lagi.

Berkongsi tentang rutin kehidupannya ketika ini, aktres berusia 36 tahun itu sebenarnya masih sibuk agenda keluarga seperti majlis tahlil dan mengaji di rumah.

MARSHA bersyukur watak Nurul Huda berjaya membangkitkan kemarahan ramai, sekali gus membuktikan dirinya berjaya menghidupkan karakter antagonis.

Populariti Nurul Huda

Meskipun masih diselubungi duka, wanita berketurunan Kadazan-Dusun itu sempat menzahirkan kesyukuran apabila watak Nurul Huda lakonannya menerusi drama bersiri, Rindu Awak Separuh Nyawa meledak sehingga menjadi bahan bualan netizen.

“Agak sukar sebenarnya untuk menghidupkan watak Huda kerana selepas membaca skrip, saya sendiri yang geram dengan karakter itu.

“Namun, alhamdulillah, saya bertuah kerana berpeluang untuk berkerja dengan sebuah produksi dan barisan pelakon yang hebat.

WATAK Nurul Huda memberi semangat buat Marsha bahawa lakonannya memberi impak kepada penonton.

“Hasilnya memuaskan hati, mungkin itulah kegembiraan yang Tuhan kurniakan selepas diberi dugaan,” ujarnya.

Tidak menjadikan mana-mana pelakon sebagai inspirasi, Marsha hanya memberikan sepenuh jiwa. Bimbingan pengarah, Along Kamaruddin dan penulis skrip (Siti Rosmizah) pula menjadi dukungan membentuk

Nuru Huda sebagaimana yang disaksikan semua.

Lumrah bergelar pelakon antagonis, impaknya pastilah dihujani kecaman. Tidak mengambil serius isu tersebut, Marsha menganggap kecaman terlampau impak daripada penonton yang terlalu beremosi.

“Ramai tuduh saya perempuan miang, perampas suami orang dan ada juga yang nak tampar muka saya.

“Mereka mungkin terbawa-bawa dengan fantasi drama sehingga nampak seperti realiti. Tidak mengapa, perkara tersebut sekali gus membuktikan Nurul Huda ‘hidup’ dalam emosi mereka,” tuturnya.

Mengenai karier sebagai penyanyi pula, Marsha menyifatkan momentum nyanyiannya masih seimbang waima dunia sedang dilanda pandemik.

“Baru-baru ini saya lancarkan single Kesudahan Kita ciptaan Ajai yang juga antara runut bunyi drama Rindu Awak Separuh Nyawa.

“Dua lagi single baharu saya juga akan dijadikan runut bunyi dua drama lain. Satu daripadanya berjudul Cinta ciptaan Stacy dan Akim untuk drama Masih Ada Rindu, manakala sebuah lagi, Ika Noh, duet bersama Fanzi Ruji akan melatari drama Love Elsa.

“Ika Noh bermaksud Itu Kamu adalah lagu rakyat dalam bahasa Dusun. Single tersebut hasil ciptaan saya, manakala lirik pula oleh Fanzi.

“Alhamdulillah, walaupun sedikit perlahan tetapi sambutan yang diberikan peminat sangat memuaskan hati saya,” tutupnya.

BIARPUN graf lakonannya ada lonjakan, karier nyanyian Marsha masih diteruskan dengan kelahiran dua buah lagi single baharu tidak lama lagi.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI