fbpx

Boleh dipenjara 3 tahun jika langgar SOP masjid, surau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) beranggapan bahawa sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di masjid dan surau di negeri ini sebagai mengingkari titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, sehubungan itu, individu yang melanggar SOP berkaitan aktiviti keagamaan turut didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 121 Enakmen Maik 1994.

Menurutnya, ia merupakan kesalahan mengingkari, melanggar, membantah, mengeji kewibawaan dan titah perintah Sultan Kelantan sebagai Ketua Agama Negeri, perintah Maik sebagai pihak berkuasa agama atau perintah pegawai serta individu yang diberi kuasa.

“Individu yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen itu telah mendapat perkenan Sultan Kelantan. Perkara ini perlu ditegaskan kerana masih berlaku pelanggaran SOP yang dikeluarkan Maik khususnya berkaitan aktiviti keagamaan di masjid, surau dan madrasah di seluruh negeri,” dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, lebih mendukacitakan apabila wujud kluster baharu dan penambahan kes sedia ada Covid-19 akibat tidak patuh terhadap SOP dikeluarkan.

Terdahulu, seramai 37 jemaah di dua surau di Mukim Chetok, Pasir Mas dikompaun apabila tetap menunaikan solat Isyak berjemaah dengan tanpa penjarakan fizikal pada 28 Mei lalu.

Selain itu, penduduk di Kampung Pauh Lima di sini pula sanggup solat tarawih beramai-ramai dalam gelap tanpa penjarakan fizikal di sebuah surau sehingga tercetus kluster dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di kawasan itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI