BAGAN SERAI – Hasrat seorang lelaki yang ingin berehat terbantut apabila melihat bangkai seekor buaya terapung di permukaan sungai di belakang rumahnya di Kampung Teluk Peribu di sini petang tadi.
Lebih mengejutkan, penemuan buaya jantan sepanjang lima meter dengan anggaran berat 400 kilogram (kg) itu pertama kali berlaku di kampung tersebut sekali gus menyebabkan kawasan itu menjadi tumpuan penduduk.
Mohamad Norlishazany Rosli, 24, berkata, kejadian berlaku pada pukul 4 petang apabila mulanya beliau menyangka objek besar yang dilihatnya terapung dan tersangkut pada tumbuhan air itu adalah pohon kayu yang hanyut.
Bagaimana pun katanya, setelah diamati ia adalah bangkai seekor buaya.
“Saya segera menghubungi rakan untuk memaklumkan perkara itu dan kami berdua memberanikan diri mendayung sampan untuk melihat dengan lebih dekat lagi.
“Setelah sah buaya itu mati, kami mengambil inisiatif untuk mengikat bangkai buaya itu lalu menariknya ke tepi tebing sungai,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini. – K! ONLINE