fbpx

14 pekerja, pemain dicekup ketika leka berjudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Serbuan ke dua lokasi berasingan semalam berjaya memberkas 14 individu.

PETALING JAYA – Seramai 14 individu terdiri daripada pekerja dan pelanggan dicekup ketika leka bermain judi di dua premis berasingan di D’ Pandan Business Square dan Taman Bukit Teratai, Ampang Jaya di sini, semalam.

Menerusi serbuan serentak sekitar pukul 3 petang, 11 yang ditahan merupakan warga asing manakala tiga individu lagi warga tempatan yang kesemuanya berusia lingkungan 24 hingga 71 tahun.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, serbuan dilakukan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan dibantu oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerusi Ops Dadu.

“Hasil serbuan pertama, polis berjaya mencekup lima orang warga asing Bangladesh dan Indonesia termasuk seorang wanita (pekerja) serta tiga lelaki tempatan.

“Turut dirampas 10 buah komputer riba dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk aktiviti perjudian dalam talian,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, melalui serbuan kedua di Taman Bukit Teratai, seramai enam orang wanita warganegara Vietnam turut diberkas bersama 52 keping daun terup dan sejumlah wang tunai yang digunakan untuk aktiviti perjudian (daun terup jenis Ngau).

“Kesemua tangkapan akan direman selama empat hari mulai hari ini hingga Jumaat untuk siasatan lanjut,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI