PETALING JAYA – Pelaksanaan Sidang Dewan Parlimen secara hibrid melibatkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara dijangka menjadi proses penuh inovatif sekiranya ia diperkenankan oleh Kabinet dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, ia juga akan membuka suatu perspektif baru bagi persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara Malaysia.
“Beberapa aspek penting sedang diteliti jawatankuasa khas khususnya dari sudut takrif dan pelaksanaan baru untuk diterima pakai demi memastikan tiada sebarang pelanggaran perundangan yang melibatkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang berkuat kuasa pada masa ini.
“Konsep dan prosedur ini melibatkan pelbagai implikasi bukan sahaja perundangan dan peraturan mesyuarat kedua-dua Dewan, tetapi juga ketentuan baru berkaitan kelakuan serta tingkah laku Ahli Parlimen sendiri selain hal ehwal prasarana dan kelengkapan legislatif,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, jawatankuasa khas telah meneliti konsep dan kaedah pelaksanaan sistem hibrid itu dari pelbagai sudut dan permasalahan termasuk mengambil kira amalan persidangan hibrid Parlimen negara-negara luar seperti United Kingdom, Australia dan lain-lain.
“Jawatankuasa khas juga secara khusus mengambil kira pandemik Covid-19 yang melanda negara dan rakyat serta mengambil berat kelangsungan suara rakyat di Parlimen yang berpaksikan Pemerintahan Raja Berperlembagaan.
“Selain itu, ia turut mengambil kira implikasi kuat kuasa pemerintahan darurat yang berdepan dengan cabaran kewangan dan beban tugas Ahli Parlimen serta perimbangan kemampuan mengemas kini prasarana sedia ada membabitkan komunikasi 222 kawasan Dewan Rakyat dan 70 Senator yang bertebaran di seluruh tanah air,” ujarnya.
Tambahnya, usaha ini membuktikan kepada rakyat bahawa pihak legislatif dan eksekutif amat objektif terhadap keperluan dan tuntutan semasa khasnya bagi mendapatkan pandangan jujur, ikhlas dan membina daripada seluruh Ahli Parlimen dan para Senator mengatasi ancaman Covid-19 di Malaysia yang ketika ini sudah meragut 3,378 nyawa dan keseluruhan kes menjangkau 616,815.
“Bagi menjayakan matlamat murni dan objektif ini, kuasa-kuasa eksekutif dan legislatif perlu dicantumkan supaya hasilnya menyempurnakan kehendak Perlembagaan Persekutuan, Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan kuasa)1952, Peraturan Mesyuarat kedua-dua Majlis Dewan dan peraturan-peraturan sampingan berkaitan.
“Jawatankuasa khas tersebut dianggotai Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, kedua-dua Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta Ketua Pentadbir Parlimen,” katanya. – K! ONLINE.