LONDON – Legenda Arsenal, Emmanuel Petit menyelar polisi perpindahan pemain pasukan tersebut dan mendakwa bekas kelabnya itu menghabiskan sejumlah wang yang banyak untuk pemain yang salah.
Musim lalu menyaksikan Arsenal melalui tempoh paling sukar apabila menamatkan saingan di kedudukan kelapan dan buat kali pertama dalam tempoh 25 tahun mereka gagal mara ke saingan pentas Eropah.
Bekas pemain antarabangsa Perancis yang membuat 116 penampilan bersama Arsenal antara tahun 1997 hingga 2000 menyalahkan pemilik kelab itu, keluarga Kroenke mengenai strategi perpindahan pemain sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, pasukan itu mendapatkan Willian dari Chelsea pada musim panas lalu dan membayar gaji yang cukup tinggi tetapi pemain itu gagal memberikan sebarang impak buat pasukan.
“Saya sudah tidak kenal pasukan ini. Saya tidak lagi lihat ‘darah’ Arsenal yang mengalir di dalam badan pemain ketika mereka beraksi.
“Ia bukanlah mengenai duit kerana Arsenal mampu mengeluarkan dana sebanyak £70 juta (RM409.19 juta) untuk seorang pemain yang mereka inginkan.
“Tetapi, ia adalah mengenai profil pemain, siapa pemain yang anda perlukan untuk pasukan dari sudut kualiti dan karakter.
“Saya tidak tahu apa yang Arsenal lakukan dalam pasaran perpindahan, saya tidak faham. Mereka mengeluarkan wang yang banyak untuk pemain yang salah,” katanya.
Jelasnya, beliau tidak hairan sekiranya prestasi Arsenal akan terus merosot musim depan dan menjadi pasukan bawahan liga jika mereka gagal untuk mengubah prinsip pasukan.
“Ini sepatutnya menjadi batu loncatan buat Arsenal untuk mengakhiri krisis prestasi. Mereka perlu mencari arah yang betul atau akan terus gagal sehingga sukar untuk menarik pemain-pemain berkualiti menyertai mereka pada masa akan datang,” ujarnya. – AGENSI