PETALING JAYA – Tiga pegawai dan seorang anggota polis berdepan tindakan undang-undang dan tatatertib selepas ditahan ketika leka berparti di sebuah bilik hotel di Jalan Pinang awal pagi semalam.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, siasatan menyeluruh akan dijalankan terhadap mereka yang berpangkat Deputi Superintendan, Inspektor dan konstabel.
“Siasatan menyeluruh akan dilakukan kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan berada di tempat yang tidak dibenarkan dengan menyertai parti persendirian bersama orang awam.
“Kita (JIPS) akan siasat dan ambil tindakan sewajarnya,” katanya di sini hari ini.
Zamri memberitahu, perbuatan mereka jelas melanggar arahan Ketua Polis Negara yang melarang semua pegawai dan anggota polis daripada terlibat kegiatan yang bertentangan dengan peraturan dan displin sebagai warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Perbuatan mereka amat dikesali kerana sudah banyak peringatan dan amaran diberikan oleh kepimpinan PDRM berhubung perkara ini, namun tetap ingkar.
“Sepatutnya, mereka mencegah orang awam daripada terlibat dengan kes sedemikian, bukan terlibat sekali menyertai parti itu,” katanya.- K! ONLINE