BANGKOK, THAILAND – Pihak berkuasa Thailand mengarahkan pemilik sebuah bangunan di Bangkok untuk menurunkan sekeping papan iklan kerana memaparkan sokongan terhadap Palestin, lapor portal Thaiger semalam.
Papan iklan itu mengandungi bendera Palestin dengan tanda pagar #FreePALESTINE serta imej Masjid Al-Aqsa.
Ia dilaporkan dinaikkan oleh sekumpulan penduduk Islam di Thailand yang menyokong penduduk Palestin.
Difahamkan, pihak berkuasa negara itu meminta pemilik bangunan untuk menurunkan papan iklan tersebut kerana dikatakan boleh merosakkan hubungan antara Thailand dengan Israel.
Pemilik bangunan itu bagaimanapun dikatakan enggan menurunkan papan iklan tersebut.
Susulan itu, satu amaran telah diberikan kepadanya yang mengatakan bahawa tindakan undang-undang akan diambil jika papan iklan itu masih berada di situ sehingga kelmarin.
Papan iklan itu bagaimanapun kini telah diturunkan dan digantikan dengan ruang iklan untuk disewa.
Seorang aktivis politik Thailand, Veera Somkwamkid berkata, papan iklan Palestin itu tertakluk di bawah perlindungan hak kebebasan bersuara di Thailand. – AGENSI