LONDON – Seorang nenek berusia 87 tahun di Britain berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun kerana memandu secara berbahaya sehingga merempuh tiga orang awam dan menyebabkan kecederaan serius kepada salah seorang mangsa, lapor akhbar The Sun semalam.
Pauline Haynes berdepan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mendatangkan kecederaan serius dan memandu secara berbahaya di Mahkamah Majistret Worcester, England, Khamis lepas.
Dalam kejadian pada Ogos tahun lepas, Haynes memandu keretanya secara mengundur dari sebuah kedai menjual peralatan pertanian di sebuah taman di Worcester.
Mangsa pertama dan kedua, Nicola Weir serta anak lelakinya ketika itu sedang beratur menanti pesanan makanan di hadapan sebuah kedai apabila mereka secara tiba-tiba dirempuh kereta yang dipandu oleh Haynes.
Dia kemudiannya terus memandu melalui sebuah dusun epal dan merempuh mangsa ketiga, Dawn Walters yang kemudiannya tersepit pada sebatang pokok.
Rempuhan itu mengakibatkan Walters tidak boleh berjalan, memerlukan pembedahan, berada dalam kesakitan yang berterusan dan tidak dapat melakukan aktiviti harian.
Menurut pendakwa raya, Melanie Winterflood, Haynes pada asalnya mengundur untuk keluar dari kotak parkir di taman tersebut.
“Malangnya, dia mengundur secara laju ke arah orang awam yang sedang beratur di bahagian luar sebuah kedai dan melanggar Weir dan anaknya.
“Haynes kemudiannya terus mengundur secara laju ke arah sebuah dusun epal, di mana dia merempuh mangsa ketiga sehingga tersepit pada sebatang pokok,” katanya ketika sesi perbicaraan.
Haynes telah menyerahkan lesen memandunya dan memberitahu majistret bahawa dia tidak akan memandu lagi.
Tertuduh dibenarkan ikat jamin, manakala hukuman akan diputuskan Julai ini – AGENSI