PARIS – Juara bertahan, Iga Swiatek tidak mempunyai masalah untuk melangkah ke pusingan keempat Terbuka Perancis selepas menewaskan pilihan ke-30, Anett Kontaveit dengan kemenangan straight- set 7-6, 6-0 awal pagi semalam.
Kata Swiatek, aksi yang dipamerkan masih belum cukup memuaskan kerana gagal memberikan tumpuan penuh apabila membuka banyak ruang buat Kontaveit membalas serangan pada set pertama.
“Secara jujur, saya masih belum cukup panas pada set pertama dengan memberi banyak ruang peluang buat Kontaveit menguasai perlawanan tetapi saya gembira akhirnya keputusan masih memihak kepada saya pada tie-break set pertama.
“Bersambung pada set kedua, saingan lebih mudah dengan strategi serta setiap pukulan yang saya lakukan membuahkan hasil sehingga memaksa dia melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya dibuat,” katanya yang diletakkan sebagai pilihan kelapan.
Swiatek yang juga atlet kelahiran Poland dijadualkan bertemu dengan pemain muda sensasi dari Ukraine, Marta Kostyuk yang berjaya mara ke pusingan keempat selepas menewaskan Varvara Gracheva dengan keputusan 6-1, 6-2.
Sementara itu, pemain pilihan ke-17, Maria Sakkari terpaksa bekerja keras untuk menempah tiket ke pusingan keempat apabila berjaya menafikan cabaran pilihan ke-14, Elise Mertens dengan kemenangan sehingga ke set penentuan 7-5, 6-7, 6-2.
“Ini adalah perlawanan terbaik yang saya harungi sejak sekian lama. Mertens sememangnya tidak memberikan laluan mudah khususnya pada dua set pertama. Mungkin pada set terakhir dia sudah kepenatan dan dari situ saya mengambil kesempatan untuk menang,” katanya. – AGENSI