BARCELONA – Pelumba pasukan Red Bull KTM, Miguel Oliveira melakar kejutan apabila memenangi perlumbaan pertamanya musim ini pada Grand Prix (GP) Barcelona di Litar Catalunya malam tadi.
Memulakan saingan di petak keempat, pelumba kelahiran Portugal itu mengambil kesempatan dengan memecut laju pada awal perlumbaan untuk berada dalam kelompok hadapan.
Bagaimanapun, dia berdepan cabaran hebat pelumba pasukan Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo serta pelumba Pramac Racing, Johann Zarco pada penghujung perlumbaan.
“Sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata kerana terlalu gembira dengan kemenangan ini. Secara jujur, ini adalah perlumbaan terbaik dalam karier saya dengan aksi yang sangat sempurna.
“Satu perlumbaan yang sukar kerana pelumba-pelumba lain seperti Fabio (Quartararo) memberi cabaran hebat. Saya gunakan kesempatan di laluan lurus untuk melakukan pecutan dan meninggalkan pelumba lain,” kata Oliveira sejurus tamat perlumbaan.
Sebagai rekod, keputusan itu menyaksikan Oliveira memenangi perlumbaan ketiganya dalam kelas premier selepas turut melakukannya pada GP Styria dan Portugal bersama pasukan KTM Tech3 musim lalu.
Turut bersama Oliveira di podium adalah Zarco yang menamatkan perlumbaan sebagai naib juara, diiringi pelumba pasukan Ducati, Jack Miller di tempat ketiga, sekali gus menyaksikan saingan kejuaraan dunia terus terbuka.
Sementara itu, Quartararo yang menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat masih lagi menerajui senarai kejuaraan apabila mengumpul 118 mata, diikuti Zarco dengan 101 mata serta Miller yang menghimpun 90 mata. – AGENSI