LONDON – Kad vaksinasi Covid-19 yang kononnya dikeluarkan oleh Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS), dijual di laman e-Dagang, eBay pada harga sekitar £54 (RM292) sekeping, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Kad ‘kosong’ tersebut membolehkan pembeli mengisi sendiri ruang kosong pada bahagian slot temu janji yang menyediakan butiran seperti jenis vaksin dan tarikh divaksin.
Berdasarkan iklan jualan tersebut, sekeping kad itu didapati telah dijual dalam tempoh 24 jam yang lepas.
Penjualan kad vaksin itu menimbulkan kebimbangan pihak berkuasa. Ini kerana kad tersebut dijadikan bukti seseorang itu telah mendapatkan suntikan Covid-19.
Sebilangan lokasi tumpuan ramai di Britain meminta pengunjung menunjukkan bukti mereka telah mendapatkan pelalian sebelum dibenarkan masuk ke premis tersebut manakala kad vaksinasi digunakan bagi tujuan tersebut.
Menurut eBay, laman e-Dagang itu telah menetapkan algoritma yang boleh mengesan penjualan kad vaksin.
Bagaimanapun, laman web itu mengaku terdapat beberapa penjual yang bijak dan memintas fungsi automatik tersebut.
“Kerajaan Britain menetapkan bahawa kad vaksinasi NHS tidak boleh digunakan sebagai bukti rasmi status vaksinasi seseorang.
“Jadi, meskipun pembeli membeli kad tersebut, ia tidak dapat digunakan untuk mana-mana kegunaan seperti melancong,” kata seorang jurucakap eBay.
Tambahnya, eBay bertegas menyekat sebarang cubaan menjual semula dokumen kerajaan untuk keuntungan peribadi dengan cara menetapkan algoritma yang menapis penjualan.
“Bagaimanapun, terdapat penjual yang bijak memintas fungsi tersebut, dan jika keadaan itu berlaku, pasukan polisi kami akan memadam iklan tersebut dengan pantas, sama seperti kes kali ini,” katanya. – AGENSI