JAKARTA – Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) mengusulkan pencalonan seorang utusan khas kepada junta tentera yang akan memainkan peranan sebagai orang tengah dalam rundingan antara junta dan kem prodemokrasi di Myanmar.
Setiausaha Agung ASEAN, Lim Jock Hoi dan Menteri Luar Kedua Brunei, Erywan Pehin Yusof mengunjungi Myanmar pada Khamis dan Jumaat lepas untuk menyerahkan nama-nama calon yang dicadangkan ASEAN kepada junta, demikian menurut satu kenyataan.
Bagaimanapun, ASEAN tidak mendedahkan calon tersebu, demikian menurut agensi berita Kyodo kelmarin.
Pada Jumaat lalu, kedua-dua pemimpin ASEAN itu bertemu dengan ketua junta Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing di Naypyitaw untuk membincangkan krisis di negara itu.
Penghantaran utusan khas itu adalah salah satu daripada lima perkara yang dipersetujui dalam sidang kemuncak luar biasa ASEAN ydi Indonesia akhir April lalu untuk membincangkan keadaan di Myanmar.
Lima perkara itu termasuk menghentikan segera keganasan yang berlaku dan bantuan kemanusiaan ASEAN kepada Myanmar.
Dalam pertemuan itu, Erywan yang bertindak sebagai Ketua Mesyuarat Menteri Luar ASEAN, turut meminta Min Aung Hlaing dan pegawai Myanmar lain supaya membebaskan semua tahanan politik, termasuk wanita, kanak-kanak dan warga asing.
Utusan khas ASEAN itu sepatutnya berada di Myanmar pertengahan Mei lalu tetapi pihak junta belum bersedia menerima perwakilan tersebut.
Myanmar memberitahu negara itu hanya akan mempertimbangkan dengan teliti mengenai cadangan konstruktif yang dibuat oleh pemimpin ASEAN selepas keadaan kembali stabil.
Pendirian tersebut menyukarkan ASEAN untuk menguruskan proses penghantaran utusan khas yang berkemungkinan besar akan menimbulkan situasi rumit dengan junta tentera.
Setakat Sabtu lepas, seramai 847 orang dilaporkan dibunuh oleh pasukan keselamatan negara itu sejak rampasan kuasa pada 1 Februari lalu, demikian menurut Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik yang merupakan kumpulan hak asasi memantau kematian dan tangkapan di Myanmar. – Agensi