KLANG – Cubaan sebuah syarikat pengilangan makanan haiwan menyeludup masuk 5,000 kilogram (kg) makanan tambahan untuk ayam ternak gagal selepas dikesan pihak berkuasa di Pelabuhan Utara, kelmarin.
Kesemua makanan yang diimport dari Brazil itu bernilai RM 45,302.75 dirampas pukul 11.30 pagi oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor.
Pengarahnya, Zamri Hashim berkata, hasil pemeriksaan mendapati syarikat tempatan itu gagal mengemukakan sebarang dokumen permit import sah bagi produk tersebut.
Katanya, barangan dibawa masuk menggunakan sebuah kontena dan telah berada di pelabuhan tersebut sejak 17 Mei lalu.
“Produk makanan itu adalah untuk pasaran tempatan dan ini adalah kesalahan pertama dikesan melibatkan syarikat tersebut.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM 45,302.75,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
“Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. -K!ONLINE