SEBERANG PERAI – Siasatan ke atas sebuah feri ikonik usang berwarna hijau-biru yang tersadai di dalam Sungai Perai di Limbungan Bagan Dalam, Butterworth di sini sejak November 2019 mendapati ia telah bocor hingga mengakibatkannya rosak.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, feri yang tular di laman sosial tersebut telah lama tidak digunakan kerana keuzuran dan sering mengalami kerosakan sebelum ini.
Sehubungan itu, katanya, SPPP ketika ini sedang berbincang dengan pembida untuk urusan pajakan melalui bidaan tender bermula 29 Januari hingga 18 Mac lalu.
“Siasatan mendapati feri itu telah mengalami beberapa kebocoran yang mengakibatkan air masuk ke dalam perut kapal pengangkut itu dan bilik enjin.
“Ia telah menyebabkan feri itu condong dan kita segera mengepam air keluar bagi membolehkan kerja pembaikan dibuat selain membaiki lubang bagi memastikan Feri Pulau Pinang kembali terapung,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambahnya, feri berkenaan termasuk beberapa yang lain dijangka diserahkan kepada pembida berjaya pada Julai ini.
Menurut Teik Cheng, feri itu tidak akan hanyut kerana berada di kawasan air cetek di Sungai Perai di Limbungan Bagan Dalam dan pajakan dilakukan untuk menjadikan feri itu sebagai muzium di Tanjung City Marina di George Town.
Difahamkan feri itu diletakkan di limbungan tersebut sejak November 2019 kerana kerosakan teruk dan kesukaran memperoleh alat ganti dari Belanda.
Terdahulu, beberapa keping gambar memaparkan Feri Pulau Pinang separuh tenggelam tular di media sosial sejak kelmarin sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak kerana mempunyai nostalgia tersendiri kepada warga Pulau Mutiara dan identiti pelancongan.
Ujar Teik Cheng, SPPP mempunyai enam buah feri ikonik dengan sebuah dihadiahkan kepada kerajaan negeri, feri pelancongan (2), restoran terapung (2) dan muzium (1).
Setakat ini, hanya Feri Pulau Angsa masih beroperasi bagi mengangkut motosikal dan basikal, manakala pejalan kaki diangkut dengan tiga feri bot laju
Perkhidmatan feri ikonik dengan dek dua tingkat yang boleh membawa penumpang serta kenderaan seperti kereta, motosikal dan lori itu telah dihentikan perkhidmatannya pada 31 Disember lalu.
Ia bagi memberi laluan kepada proses transformasi pengangkutan air di negeri ini yang lebih moden iaitu digantikan dengan perkhidmatan katamaran atau bas air menjelang Julai 2022.- K! ONLINE