PARIS – Bekas pemain No. 1 dunia, Roger Federer menyatakan hasrat untuk menarik diri sekiranya gagal mendapat kecergasan penuh selepas berjaya melangkah ke pusingan keempat dengan menewaskan Dominik Koepfer awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, Federer yang diletakkan sebagai pilihan kelapan kejohanan terpaksa mengambil masa lebih tiga jam 30 minit untuk menafikan cabaran Koepfer dengan keputusan 7-6, 6-7, 7-6, 7-5 sekali gus menamatkan saingan pada pukul 1 pagi waktu tempatan.
Kata Federer, keputusan sama ada kekal bersaing atau menarik diri dalam saingan kejohanan Grand Slam di Roland Garros itu hanya akan dibuat sebelum bertemu dengan jaguh Itali, Matteo Berrettini di pusingan keempat hari ini.
“Saya masih belum pasti sama ada mahu meneruskan saingan atau tidak kerana perlawanan saya pada kali ini berakhir lewat malam dan esok (hari ini) saya perlu kembali bersaing dengan penuh kompetitif.
“Ini kerana saya tidak mahu memberi tekanan melampau terhadap lutut saya yang baru sahaja pulih daripada kecederaan panjang tetapi segala keputusan akan dibuat esok selepas saya memikirkan segala kemungkinan.
“Secara jujur, saya mahu mengelakkan risiko kecederaan kerana keutamaan saya adalah untuk beraksi pada Kejuaraan Wimbledon pada penghujung bulan ini,” kata pemain berusia 40 tahun itu.
Pemain Switzerland itu sebelum ini telah menjalani dua pembedahan lutut tahun lalu sehingga terpaksa berehat lebih 12 bulan sebelum membuat kemunculan semula pada Mac lepas. – AGENSI