GUA MUSANG – Seramai 3,799 Ketua Isi Rumah (KIR) Orang Asli yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di 17 pos penempatan daerah ini menerima bantuan bakul makanan bermula semalam.
Penolong Pegawai Pembangunan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Gua Musang, Muhamad Yusrizal Ghani berkata, Jakoa memperuntukkan hampir RM800,000 untuk menyalurkan bekalan makanan kepada masyarakat Orang Asli di daerah ini.
Katanya, bantuan itu akan dihantar oleh pihak kontraktor yang dilantik melalui lori dan kenderaan pacuan empat roda melalui jalan darat.
“Kita memahami masyarakat Orang Asli yang tinggal jauh di kampung pedalaman pastinya kehabisan makanan susulan pelaksanaan PKP ketika ini.
“Kita berusaha menghantar keperluan barangan seperti beras, minyak masak, tepung, garam, gula, serbuk teh, sardin, kicap dan bihun dalam tempoh masa seminggu ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan kerja pembungkusan bakul makanan di Bandar Baru di sini hari ini.-K! ONLINE