fbpx

Warga emas OKU ditemui rentung dalam bilik tidur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bomba sedang memadamkan kebakaran rumah berkenaan di Kampung Bakiau, awal pagi semalam. /FOTO IHSAN PEMBACA

KENINGAU – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) warga emas ditemui rentung selepas rumah didiaminya musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Bakiau, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian sekitar pukul 1 pagi itu, mangsa Amburus Antougou, 65, yang tinggal bersama anaknya berusia 45 tahun dipercayai gagal diselamatkan ekoran api sudah membakar sebahagian besar rumah terbabit.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama anak lelakinya di rumah berstruktur papan yang berkeluasan 5.5 meter persegi.

“Berdasarkan keterangan, kedua-dua mangsa sedang tidur di dalam rumah ketika kejadian.

“Anak lelaki mangsa dikatakan cuba untuk menyelamatkan bapanya namun gagal ekoran api sudah terlalu marak.

“Anak mangsa juga tidak dapat memastikan punca kebakaran bermula daripada bahagian mana berikutan hanya menyedari selepas api sudah memusnahkan hampir keseluruhan rumah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Shahrudin, mangsa adalah seorang OKU yang tidak mampu berjalan dan mayat mangsa ditemui di dalam bilik tidur.

Ujar beliau, kejadian hanya membabitkan sebuah rumah dan rumah jiran yang paling hampir terletak kira-kira 50 meter dari rumah mangsa di seberang sungai.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Keningau untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Setakat ini, anggaran kerugian dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI